SUKAN

SABAH SASAR 40 EMAS DI SUKMA SARAWAK 2024

30/06/2024 02:22 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata berdasarkan prestasi semasa atlet negeri itu, pihaknya yakin sasaran emas ditetapkan mampu dicapai.

“Kita telah melakukan persiapan sejak tahun lepas dan kini lebih 1,000 atlet sedang mengadakan latihan namun hanya lebih 700 atlet akan menyertai kontinjen negeri selepas selesai proses tapisan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Sukan Perpaduan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dan KBS Sabah di sini hari ini.

Ellron berkata terdapat beberapa sukan yang berpotensi sebagai lubuk emas antaranya renang dan taekwondo.

“Oleh itu, saya nasihatkan agar atlet yang sudah tersenarai dapat meneruskan latihan dengan gigih serta penuh disiplin. Saya juga berharap kita bukan saja dapat mencapai sasaran emas namun ada kejutan lain yang bakal kita dengar,” katanya.

Berdasarkan rekod, kontinjen Sabah menduduki tempat keenam keseluruhan dengan 30 pingat emas, 29 perak dan 39 gangsa pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.

SUKMA Sarawak 2024 akan menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara dan menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan