AM

KPWKM PERKASA CBO, RAKAN STRATEGIK BENDUNG PENDERAAN, KEGANASAN RUMAH TANGGA - NANCY

30/06/2024 03:26 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperkasakan Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) bagi menggerakkan peranan mereka sebagai rakan strategik dalam usaha membendung kes penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga dalam komuniti. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata isu penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan kurang upaya serta warga emas tidak boleh dipandang remeh dan tugas melindungi mereka adalah tanggungjawab bersama semua pihak di semua peringkat khususnya komuniti setempat.

"Oleh itu, kementerian akan memperkasa organisasi-organisasi ini dengan memberi geran bagi menggerakkan peranan mereka sebagai rakan strategik KPWKM.

"Peranan komuniti seperti Ketua Kampung, Persatuan/ Pertubuhan Komuniti, guru, jiran, sukarelawan lain-lain sangat penting untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa khususnya Kementerian ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar KPWKM, di Dewan JKK Sungai Kechil di sini hari ini.

Pada majlis itu, Nancy turut menyerahkan bantuan kewangan kerajaan bernilai RM558,723.60 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung bagi menampung pemberian elaun pelatih OKU, sagu hati penyelia dan petugas, sewaan premis dan utiliti.

Beliau memaklumkan RM133.55 juta disalurkan kerajaan kepada PPDK seluruh negara, manakala sejumlah RM8.43 juta disalurkan kepada PPDK seluruh negeri Pulau Pinang sehingga April lepas.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 570 PPDK di seluruh negara termasuk 24 daripadanya terletak di Pulau Pinang.

Program PPDK merupakan strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Kebajikan Masyarakat Rosmahwati Ishak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan