FOKUS BERNAMA

LANTIK PENAMA ANTARA SOLUSI TERBAIK LINDUNGI HARTA SIMPANAN, PELABURAN

01/07/2024 09:31 AM
Daripada Nadia Jumri

Melantik penama sebagai pentadbir untuk harta yang disimpan atau dilaburkan di sesebuah institusi kewangan adalah amalan sah yang diterima pakai bagi mereka yang beragama Islam dan bukan Islam di negara ini.

Berdasarkan artikel jurnal diterbitkan oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2002 bertajuk ‘Amalan Penamaan Harta Orang Islam di Malaysia: Satu Tinjauan Ringkas Menurut Syariah Islamiah’ , penama yang dilantik akan menerima faedah daripada harta berkenaan ataupun memiliki harta tersebut selepas berlakunya kematian pihak penyimpan.            

Artikel jurnal itu juga menjelaskan, penamaan atau melantik penama biasanya berlaku bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (TH), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan lain-lain termasuk wang insurans nyawa.

Sekiranya berlaku kematian terhadap penyimpan, maka wang itu akan diberikan kepada penama yang kebanyakannya adalah mereka yang berhak menerima pusaka dan akan menjadi hak mutlak (penama).

Namun begitu, wujud kekeliruan dalam perkara ini termasuklah apabila ia dikatakan menyalahi hukum faraid dan wasiat dalam Islam.

 

ANTARA SOLUSI  TERBAIK

Mengulas perkara berkenaan, Naib Canselor Universiti Islam Selangor Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, melantik penama adalah antara langkah terbaik bagi melindungi harta simpanan atau pelaburan sekali gus memudahkan caruman pemilik harta dapat diakses apabila berlakunya kematian.

“Pemilik harta disarankan untuk meletakkan penama bagi harta simpanan yang bertindak sebagai jaringan keselamatan kewangan untuk tanggungan individu tersebut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

pic-2

Beliau berkata, tujuan penamaan ini bermaksud wasiat si mati kepada penama bagi memudahkannya mengeluarkan duit atau harta itu untuk dimanfaatkan waris dengan segera tanpa perlu mendapat perintah daripada pihak yang menguruskan harta pusaka berkenaan.

“Pemegang amanah boleh jadi seorang individu atau agensi, atau badan-badan berkuasa yang diiktiraf penyimpan untuk menjadi pelaksana kepada harta simpanan mereka. Siapa yang akan uruskan (harta simpanan) adalah ‘care taker’.

“Untuk mereka yang beragama Islam perlulah mempunyai akal waras dan umur baligh yang boleh diterima syarak sebagai pelaksana,” katanya.

 

PEMILIHAN PENAMA

Menurut Mohd Farid Ravi, penting bagi pemilik harta mempertimbangkan pemilihan penama atau wasi sebagai individu yang bertanggungjawab untuk menguruskan simpanan tersebut selepas kematian mereka.

“Pemilik harta perlu membuat penilaian bijak dalam semua aspek untuk melantik wasi atau pemegang amanah sebagaimana yang digariskan oleh hukum syarak demi memastikan objektif pihak yang menamakan tercapai,” katanya.

Beliau merujuk TH, badan koperasi dan KWSP sebagai antara institusi yang mengguna pakai konsep penama sebagai satu kaedah perancangan kewangan bagi menentukan individu yang akan mewarisi simpanan selepas pemilik harta meninggal dunia.

“Begitu juga dengan Simpan SSPN (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) yang menyatakan nama waris atau penama ini membolehkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) melepaskan apa bentuk simpanan ke atas akaun pemilik harta yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk mentadbir bagi yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, setiap institusi kewangan Islam mempunyai syarat tertentu bagi penamaan harta namun pada akhirnya penama hanya sebagai pemegang amanah ke atas harta simpanan dan ia wajib diserahkan kepada ahli waris yang berhak mengikut hukum sedia ada.

Turut berpendapat umat Islam perlu cakna dan sedar akan tanggungjawab serta amanah seperti wasiat, harta simpanan dan harta pusaka, beliau berkata, tindakan itu dapat mengelakkan kekeliruan sekali gus melahirkan mereka yang celik ilmu harta.

“Sejak kebelakangan ini, sering terpapar di akhbar tempatan antaranya laporan berhubung RM90 bilion harta beku tidak dituntut dan RM66 bilion harta pusaka milik orang Islam tidak dituntut. Perkara ini jelas menunjukkan harta orang Islam tidak diuruskan secara berhemah kerana mereka tidak cakna dengan ilmu harta,” katanya.

 

HARTA ALIH DAN TIDAK ALIH

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Norsuhaida Che Musa berkata, secara umumnya, wang simpanan termasuk dalam kategori harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid selepas kematian pemiliknya.

Namun begitu, ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu waris perlu menyelesaikan hutang si mati, hibah (jika ada), wasiat, deklarasi harta sepencarian dan akhirnya barulah pengagihan wang simpanan tersebut mengikut hukum faraid.

pic-3

“Dalam konteks harta, terdapat dua kategori harta iaitu harta alih dan harta tidak alih. Wang simpanan adalah dalam bentuk harta alih. Contoh wang simpanan adalah akaun bank, simpanan tetap, KWSP dan Tabung Haji.

“Wang simpanan termasuk dalam harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut hukum faraid selepas kematian pemiliknya. Proses ini melibatkan penyelesaian hutang, pelaksanaan wasiat yang sah, dan mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah untuk pembahagian yang adil dan mengikut perundangan Islam di Malaysia,” katanya.

Norsuhaida yang juga penyelaras Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM berkata, orang ramai khususnya umat Islam perlu mendapatkan ilmu sebenar aspek asas kesan dan kedudukan harta alih dan tidak alih menerusi sistem perundangan negara.

“Status harta semasa dan selepas kematian tidaklah seperti yang disangkakan. Oleh itu, pemilik harta boleh merancang harta dengan ilmu yang betul agar tidak berlaku kekeliruan pada diri sendiri dan manfaat waris selepas kematian,” katanya.

Beliau pada masa sama mencadangkan pemilik harta untuk memastikan penamaan dalam akaun bank, insurans dan KWSP secara tepat dan dikemas kini selain mendapatkan dokumen wasiat atau hibah yang sah dengan cara mendapatkan nasihat undang-undang.

“Situasi setiap orang berbeza dan mereka perlukan konsultasi perundangan untuk mendapatkan solusi sebaiknya sesuai dengan keperluan mereka,” katanya.

Mengambil contoh Simpan SSPN, Norsuhaida berkata, PTPTN mengambil langkah yang sama dengan institusi kewangan yang lain dengan melepaskan simpanan akaun pendeposit yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk mentadbir bagi yang beragama Islam.

“Manakala bagi yang bukan beragama Islam, penama akan menerima dengan segera tanpa perlu mengemukakan Geran Probet/Surat Kuasa Mentadbir/ Perintah Pembahagian,” katanya.

 

KONSULTASI UNDANG-UNDANG

Menyentuh kekeliruan masyarakat di negara ini yang menganggap apabila berlaku kematian harta yang ditinggalkan pemilik secara automatik akan difaraidkan, Norsuhaida berkata, hakikatnya ia melibatkan pelbagai peringkat proses.

“Sebenarnya ketakutan waris ini apabila memikirkan akan ramai yang menyerbu wang simpanan atau apa sahaja tinggalan si mati. Bukan begitu, tetapi akan ada pelbagai peringkat dan bukan terus difaraidkan.

“Segala hutang si mati perlu diselesaikan dulu, wasiat si mati jika ada, malah perlu selidik dulu sekiranya si mati ada membuat hibah ke atas harta tersebut. Jika sudah melalui semua proses berkenaan barulah difaraidkan,” katanya menambah, ibu bapa (pendeposit) dinasihatkan membuat hibah amanah melalui syarikat amanah berlesen.

Beliau berkata, untuk lebih memahami ilmu harta, orang ramai boleh mendapatkan konsultasi dengan peguam atau penasihat undang-undang bagi memastikan penamaan harta tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Bagi umat Islam, pemilik harta perlu memastikan semua penamaan harta mematuhi hukum faraid dan undang-undang Syariah. Mereka juga disarankan untuk menyediakan fail pewarisan untuk waris atau pentadbir mengetahui senarai harta dan hutang yang ada.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan konsultasi perundangan secara percuma di Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM menerusi laman web https://i-nasehat.com/e-konsultasi/.

“Konsultasi bergantung pada masalah orang awam dan dikendalikan secara dalam talian bagi memudahkan persoalan mendapat maklum balas dengan segera,” katanya.

 

(Disclaimer: Penulisan ini ringkas dan pembaca perlu mendapatkan nasihat perundangan yang bersesuaian sebelum membuat penamaan/pengurusan harta mereka)

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan