ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz menyeru agar anak buahnya bangkit mengatasi defisit di tempat lawan selepas tewas 1-3 kepada Buriram United FC dalam perlawanan separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di sini malam tadi.
Walaupun Harimau Selatan memiliki 70 peratus penguasaan bola di Stadium Sultan Ibrahim, pasukan pelawat menunjukkan ketajaman luar biasa dengan memastikan setiap percubaan tepat diterjemahkan kepada jaringan.
“Kami hanya boleh memohon maaf kepada para penyokong. Kami cuba mengawal permainan dan menggerakkan bola dari satu sisi ke sisi lain, tetapi pada akhirnya bola sepak adalah tentang siapa yang lebih berupaya untuk menjaringkan gol,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali dari Sepanyol itu mengakui terdapat kelemahan di benteng pertahanan, namun enggan menyalahkan mana-mana pemain, sebaliknya menyifatkan gol-gol tersebut berpunca daripada kesilapan kolektif yang berlaku lebih awal dalam permainan.
Mengenai peluang pasukan pada perlawanan timbal balik, Munoz tetap menegaskan bahawa saingan masih belum berakhir walaupun Buriram United memiliki kelebihan dua gol.
"Kita perlu percaya pada diri sendiri dan teruskan berusaha. Kita berjuang untuk pasukan dan cita-cita kita. Kita akan ke sana dan cuba mengubah situasi.
"Saya percaya akan perkara itu. Kita mesti menganalisis segala-galanya dan fokus pada bagaimana kita boleh menangani situasi ini," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Buriram United FC Mark Jackson melahirkan keyakinan mampu mempertahankan gelaran, dengan menyatakan keyakinan sepenuhnya terhadap semangat berpasukan pemainnya.
"Saya percaya pada pasukan yang kami boleh memenangi setiap perlawanan. Kami bukan hendak mendabik dada tetapi kami percaya pada keupayaan secara berpasukan dan kami boleh menang musim ini bersama-sama,” katanya sambil memuji daya tahan dan prestasi hebat yang ditunjukkan pemainnya sepanjang perlawanan.
Jackson mengaitkan kemenangan itu dengan disiplin dan kerja keras pasukan, yang menunjukkan anak buahnya telah membuktikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya permainan sepanjang musim ini.
JDT kini berdepan cabaran besar di Stadium Buriram, Thailand Rabu depan, yang memerlukan prestasi hampir sempurna untuk mengatasi agregat 3-1 jika mereka ingin mengekalkan impian kejuaraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial