AM

KERAJAAN BERI JAMINAN KUOTA BUMIPUTERA KE MATRIKULASI KEKAL - PM ANWAR

01/07/2024 04:19 PM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan mengekalkan kuota bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kuota itu tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat dalam matrikulasi.

“Kuota bumiputera tetap dikekalkan kerana ini keputusan yang sudah lama berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera (dan) Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi bermula tahun ini. Ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas.

Anwar berkata walaupun keputusan itu memberikan pengiktirafan pada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, namun kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kuota bumiputera.

“Saya percaya perkara ini akan dijelaskan dengan lebih teliti hari ini. Fadhlina (Sidek) (Menteri Pendidikan) akan cerakinkan secara lebih jelas,” kata beliau.

Beliau berharap pengumuman berkaitan jaminan tempat matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang itu akan membantu negara mengiktiraf setiap calon warganegara yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Sesiapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita (kerajaan) berikan jaminan tempat di matrikulasi. Maka, kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata keputusan itu menggambarkan bahawa kerajaan MADANI amat prihatin dan mahu negara lebih maju dengan mengutamakan prinsip kesaksamaan yang menjadi moto dalam pentadbiran negara.

“Bidang pendidikan ialah wahana terbaik untuk mencapai mobiliti sosial. Yang terbaik, terpintar, paling cemerlang harus diberikan galakan tetapi jangan dipinggirkan yang miskin,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar dalam catatan menerusi Facebook hari ini menyatakan bahawa di samping melaksanakan sistem berteraskan meritokrasi, kerajaan tetap mempertahankan keadilan atau prinsip Justice as Fairness seperti yang diungkapkan oleh sarjana Harvard, John Rawls.

"Perkara ini perlu difahami oleh sesetengah kelompok elit kota yang lantang bicara soal meritokrasi, namun tidak memikirkan adakah adil untuk membiarkan pelajar di Manik Urai atau Kapit di luar bandar bersaing dengan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling yang lengkap dengan prasarana terbaik?" kata Anwar.

Perdana Menteri berkata sekiranya meritokrasi dilaksanakan secara melulu, golongan yang miskin dan terpinggir akan kekal dalam keadaan sedemikian.

"Inilah yang dikatakan sebagai The Tyranny of Merit seperti dihujahkan oleh sarjana Amerika, Michael Sandel," kata beliau.

Anwar berkata kerajaan hari ini yang mengangkat gagasan MADANI harus lebih prihatin terhadap mereka yang tersisih, terbiar dan terpinggir.

Meritokrasi katanya, perlu dipertahankan iaitu dengan memberi lebih peluang dan galakan kepada yang terpintar dan terbaik untuk memastikan Malaysia maju, tetapi jangan sesekali melupakan mereka yang miskin dan terpinggir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan