EKONOMI

INSTITUSI TEMPATAN, PELABUR RUNCIT KEKAL PEMBELI BERSIH MINGGU LEPAS

01/07/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia, menandakan pembelian bersih minggu kedua berturut-turut, dengan nilai berjumlah RM354.9 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi laporan aliran dana mingguan, bank pelaburan itu menjelaskan peruncit tempatan juga mengekalkan aliran belian bersih bagi minggu kedua berturut-turut, bernilai RM2.7 juta.

Sebaliknya, dana asing terus menjual di Bursa Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar bernilai RM357.7 juta.

“Mereka merekodkan aliran keluar bersih RM164.3 juta pada Isnin, RM76.3 juta pada Selasa dan RM265.7 juta pada Khamis,” jelas MIDF Amanah.

Sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM206.9 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM131.4 juta) dan pembinaan (RM110.1 juta).

Bagaimanapun, pelabur asing membeli bersih RM18.0 juta pada Rabu dan RM130.7 juta pada Jumaat.

Sektor yang merekodkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM104.4 juta), teknologi (RM67.6 juta) dan hartanah (RM34.7 juta).

“Dari segi penyertaan, jumlah dagangan harian purata mengalami penurunan dalam semua kelas pelabur minggu lepas.

“Pelabur asing mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 34.4 peratus, manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan 19.5 peratus dan 15.1 peratus,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan