EKONOMI

TERENGGANU STRATEGIK BAGI PEMBANGUNAN SEKTOR CCUS - LIEW

01/07/2024 05:35 PM

 

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Terengganu dikenal pasti sebagai negeri strategik bagi pembangunan sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kluster industri di Kerteh dan Kemaman didapati mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan teknologi CCUS terutamanya bagi menyahkarbon sektor-sektor yang sukar dinyahkarbon seperti industri besi dan keluli, simen dan petrokimia yang beroperasi di Terengganu.

“Ini adalah kerana lokasi kluster perindustrian ini yang berada dalam lingkungan cadangan hab CCUS Timur berpusat di Kerteh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai sejauh mana Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 berjaya melaksanakan empat misi yang ditetapkan sejak ia dilancarkan hampir setahun lepas dalam memajukan ekonomi serta meningkatkan produktiviti.

Liew berkata aktiviti untuk membangunkan CCUS sebagai sumber ekonomi baharu sedang dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya beberapa kumpulan kerja ditubuhkan menerusi Jawatankuasa Pemandu yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi dan dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi untuk meneliti segala aspek yang terlibat dalam pembangunan ekosistem CCUS secara menyeluruh.

“Ini termasuk aspek perundangan, kewangan, pembangunan industri, pelaburan, teknologi, alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata Rang Undang-Undang CCUS disasar dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan