POLITIK

PRK SG BAKAP: CALON PH LAKUKAN PECUTAN AKHIR, TUMPU DEKATI PENGUNDI KAWASAN KELABU

01/07/2024 06:57 PM

NIBONG TEBAL, 1 Julai (Bernama) -- Berbaki lima hari lagi sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini, corak kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin kini terarah kepada usaha mendekati pengundi di kawasan kelabu.

Joohari yang mesra disapa Cikgu Joo berkata tumpuan gerak kerja ‘memutihkan’ sokongan di kawasan kelabu atau atas pagar itu kini melebihi 60 peratus dan ini penting bagi kelancaran strategi sekali gus menjamin kemenangan selesa buat Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah kita kini tumpukan ke kawasan kelabu seperti di kawasan ini (Kampung Sungai Buaya) dan setakat hari ini kempen kita sudah melebihi 60 peratus dan kita akan masuk semua (kawasan).

“(Penerimaan pengundi) Terima atau tidak, tidak mengapa (kerana) saya datang hendak perkenal diri dan menghulurkan salam perkenalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.

Bekas guru itu berkata kempen dari rumah ke rumah adalah cara terbaik bagi mendekati pengundi selain memberi ruang kepada beliau untuk meyakinkan pengundi supaya memilihnya sebagai wakil rakyat pada hari pengundian nanti.

Ditanya mengenai penerimaan masyarakat setempat terhadap iltizamnya sepanjang berkempen, Joohari berkata reaksi diterima sangat positif dan percaya pengundi Sungai Bakap mampu membuat penilaian terbaik.

“Mereka ini tak sebut secara terus (penerimaan iltizam). Kalau mereka boleh terima apa yang kita tawarkan, itu petanda baik kerana kita menawarkan sesuatu yang praktikal untuk rakyat Sungai Bakap,” katanya.

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menggariskan empat teras utama dalam iltizam atau manifesto bagi PRK berkenaan yang diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan