POLITIK

PRK SG BAKAP: BEKAS IMAM DOAKAN KEMENANGAN CIKGU JOOHARI

01/07/2024 08:24 PM

NIBONG TEBAL, 1 Julai (Bernama) -- Seorang pengundi warga emas dari Kampung Sungai Buaya di sini sama sekali tidak menyangka jentera parti yang bertandang ke rumahnya bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap baru-baru ini mewakili calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, yang juga kenalan lama beliau.

Che Dan Razak, 85, berkata beliau mengambil masa untuk mengamati gambar calon PH itu sebelum menyedari wajah tersebut adalah individu yang dikenalinya semasa menjadi imam di Masjid Kampung Besar dan mengajar ilmu agama sekitar Sungai Bakap.

“Masa ditunjukkan poster muka calon, saya memang terkejut sebab saya kenal dia,” katanya kepada pemberita di kediaman beliau semasa kempen rumah ke rumah oleh Joohari di sini hari ini.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah warga emas itu tatkala menerima kunjungan Joohari dan kedua-duanya sempat mengimbau kenangan perkenalan mereka dahulu.

Mesra disapa Pak Teh, Che Dan yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu berdiri lama berkata Joohari dikenali beliau menerusi rakan-rakannya yang mengikuti kelas agama di masjid berkenaan.

“Dia ni dulu selalu ikut kawan datang belajar mengaji di masjid... dulu Pak Teh ada kebun durian, jadi saya selalu ajak dia dan kawan-kawannya datang makan durian,” katanya.

Bekas tentera wataniah itu berkata beliau sudah tidak larat untuk pergi mengundi pada PRK kali ini kerana keadaan kesihatannya yang semakin uzur ditambah pula isterinya, Bedah Man, 80, kini terlantar sakit setelah jatuh di bilik air pada tahun lepas.

“Sebelum ini, Pak Teh mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil namun sejak Pilihan Raya Negeri tahun lepas, Pak Teh langsung tidak berdaya nak pergi mengundi.

“Cuma harapan saya, kita minta dia menang. Hanya doa boleh dipanjatkan mengiringi kemenangan dia nanti,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan