AM

KOMUNITI KRAF SULAMAN GOYANG BANTU JANA PENDAPATAN, PELIHARA WARISAN NEGARA

01/07/2024 09:44 PM

KEPALA BATAS, 1 Julai (Bernama) -- Komuniti Kraf Sulaman Goyang yang diperkenalkan sejak 2022 bukan sekadar membantu peserta menjana pendapatan malah turut memelihara kaedah sulaman tradisional itu terus kekal sebagai warisan negara.

Kraf sulaman goyang ialah teknik sulaman tradisional yang melibatkan penggunaan benang dan jarum untuk menghasilkan corak yang bergerak atau 'goyang', sering digunakan dalam kraf tangan tempatan untuk menghias pakaian terutama kebaya Baba Nyonya, kain atau aksesori dengan corak berwarna-warni.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Pulau Pinang Yusri Gulam berkata peserta Komuniti Kraf Sulaman Goyang diajar secara berfasa dengan memfokuskan peningkatan kemahiran dengan berperingkat mengikut modul yang ditetapkan.

"Komuniti Kraf Sulaman Goyang menghasilkan pelbagai produk kraf sulaman goyang seperti sapu tangan, tudung bawal, selendang dan baju kebaya sementara keunikannya kerana keaslian corak depan serta belakang yang sama selain disulam halus di atas permukaan kain kapas atau kasa robia.

“Berdasarkan maklumat peserta, mereka mampu memperoleh RM150 hingga RM500 bagi setiap helai baju kebaya," katanya kepada pemberita pada Program Media Turun Padang yang bertujuan meninjau mengenai perkembangan komuniti berkenaan di sini hari ini.

Komuniti Kraf Sulaman Goyang yang dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kepala Batas itu ialah inisiatif Kraftangan Malaysia, bertujuan memberi pendedahan dan membangunkan kemahiran peserta dalam penghasilan produk kraf sulaman goyang yang menarik serta berkualiti untuk dipasarkan bagi menjana pendapatan.

Yusri berkata terdapat antara peserta yang menjadi usahawan kraf itu selain memasarkan kepada usahawan terlibat untuk dijual kepada pembeli.

Beliau berkata pihaknya berhasrat menjadikan industri kraf tangan sulaman goyang bukan sahaja membawa manfaat ekonomi tetapi turut memperkukuh warisan budaya Malaysia terutama di Pulau Pinang sekali gus memberi kesempatan kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti yang memupuk kesabaran serta ketelitian.

"Sebab itu kita buat semula kursus ini di Pulau Pinang kerana mahu menjadikan sulaman goyang sebagai warisan budaya di sini, setakat ini yang kita tahu memang negeri ini sahaja ada sulaman goyang,” katanya.

Sementara itu, seorang guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di Kepala Batas Halimaton Saadiah Talib, 41, berkata beliau boleh menjahit pakaian namun mengikuti kursus berkenaan kerana mahu belajar sulaman goyang.

Beliau berkata ia nampak mudah namun sebenarnya perlu lebih penelitian dan kemahiran serta kelembutan tangan bagi menghasilkan pelbagai corak sulaman.

"Saya lebih banyak hasilkan sulaman goyang di tudung dan dijual pada harga RM50 ke atas mengikut corak yang dihasilkan, pembeli juga boleh memilih corak yang mereka mahukan untuk dihasilkan atas tudung mereka," katanya yang gembira dan teruja dapat mempelajari teknik itu. 

Sebanyak enam PPKK di Pulau Pinang telah dilaksanakan dengan melahirkan 97 orang komuniti kraf baharu merangkumi bidang kraf tekstil dan aneka kraf, setakat tahun ini.

Komuniti Kraf Sulaman Goyang turut menyertai simulasi perniagaan di Festival Kraf Pulau Pinang pada 5 hingga 14 Julai ini di Seberang Perai Arena Convention Centre, di sini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan