AM

ELMU UNIVERSITY JANGKA TERIMA 800 PENUNTUT BAGI KEMASUKAN PERTAMA

02/07/2024 08:10 PM

NILAI, 2 Julai (Bernama) --  Enforcement, Leadership and Management (ELMU) University, di Bandar Enstek di sini dijangka menerima kira-kira 800 pelajar bagi kemasukan pertama universiti berkenaan bermula 20 Julai ini.

Naib Canselornya Datuk Dr Kassim Noor Mohamed berkata ia menerusi 11 program yang ditawarkan oleh universiti itu termasuk peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Antara program pengajian yang ditawarkan Asas dalam Penguatkuasaan Undang-Undang, Diploma dan Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Kepujian) dan Sarjana dalam Kriminologi dan Keadilan Jenayah.

“Setakat ini kita dah ada 569 pengambilan untuk semua peringkat. Ini adalah universiti penuh pertama berkaitan penguatkuasaan, kepimpinan dan pengurusan di negara ini yang antara lain bermatlamat membantu dari segi undang-undang penguatkuasaan, kita buat melalui pendidikan.

“Kita juga mahu jadi penanda aras kepada yang lain...sekarang macam-macam persepsi orang buat tentang penguatkuasaan undang-undang di negara ini, sebab itu kita buat keputusan tubuhkan universiti ini untuk bantu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Confederation of Scientific and Technological Associations in Malaysia (COSTAM) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama ELS Language Centres (ELS) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden COSTAM Prof Dr Ruslan Hassan dan Pengarah Urusan ELS Sean Chee.

Kassim berkata ELMU University turut menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aspek penguatkuasaan dan pencegahan rasuah, selain membolehkan pegawai SPRM serta pelatih Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melanjutkan pelajaran di universiti itu.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain selepas ini termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan universiti dalam dan luar negara.

“Mengenai peluang kerja, ia terbuka cuma pelajar akan ada nilai tambah sekiranya mereka mahu kerja dalam bidang penguatkuasaan selepas tamat belajar. Selain itu, tenaga pengajar kita juga terlatih dalam bidang tertentu termasuk kejuruteraan, forensik dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MoU hari ini bagi meningkatkan peluang pendidikan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa, selain memperkukuh kemajuan saintifik dan teknologi untuk pertumbuhan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan akademik dan industri.

ELMU University yang setakat ini berkapasiti hingga 3,000 penuntut, menerima kelulusan untuk penubuhan universiti daripada Kementerian Pendidikan Tinggi berkuat kuasa pada 8 Feb 2022 dan dijangka dirasmikan pada November ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan