DUNIA

KONTRAK NIAGA HADAPAN MSM JULAI CECAH PARAS TINGGI 11 MINGGU

02/07/2024 10:12 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) bagi Julai di Bursa Malaysia Derivatives mencecah paras tertinggi 11 minggu hari ini, kata seorang penganalisis. 

Penganalisis kanan Fastmarkets, Sathia Varqa berkata kenaikan dalam minyak sayuran berkaitan, prospek pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah dan pasaran tunai yang aktif telah memacu pengukuhan tersebut.

Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM untuk bulan semerta Julai 2024 melonjak RM116 kepada RM4,140 satu tan. 

Katanya lagi, Societe Generale de Surveillance mengumumkan bahawa eksport Jun meningkat 3.58 peratus, pulih daripada kejatuhan 4.31 peratus dalam tempoh 1 hingga 25 Jun, manakala juruukur kargo lain melaporkan penurunan 12 peratus kepada 15 peratus.

“Walaupun anggaran eksport adalah bercampur-campur, pengeluaran mungkin lebih rendah, ini akan menyokong kenaikan dalam niaga hadapan MSM. UOB Kay Hian menganggarkan pengeluaran Jun menurun sebanyak tiga hingga tujuh peratus. 

“Peserta pasaran akan memerhatikan dengan teliti data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia pada Jun,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM telah melebihi RM4,000 satu tan kerana jangkaan pengeluaran yang lemah selain pengukuhan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago, membantu harga ditutup lebih tinggi.

“Saya fikir harga MSM berkemungkinan kekal melebihi RM4,000 setan minggu ini berikutan harga pasaran minyak kacang soya yang agak mantap serta kemungkinan penurunan stok di negara ini. 

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan rintangan seterusnya pada RM4,150 satu tan,” katanya. 

Ng berkata Jumaat ini akan menyaksikan tinjauan mengenai bekalan dan permintaan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk Jun.

Sementara itu, kontrak niaga hadapan MSM bagi Ogos 2024 naik RM107 kepada RM4,105 satu tan, September 2024 menambah RM110 kepada RM4,089 satu tan, kontrak Oktober 2024 melonjak RM106 kepada RM4,071 satu tan, November 2024 meningkat RM98 kepada RM4,000. satu tan dan Disember 2024 menokok RM93 pada RM4,056 satu tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 78,058 lot berbanding 59,294 lot yang disaksikan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka bertambah baik kepada 218,410 kontrak daripada 210,848 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan naik RM100 kepada RM4,150 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan