AM

BANJIR SABAH: MCMC BERJAYA PULIH 14 MENARA PEMANCAR TELEKOMUNIKASI

03/07/2024 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi berjaya memulihkan 14 daripada 41 menara pemancar telekomunikasi di beberapa kawasan Pantai Barat Sabah yang terjejas akibat banjir setakat 10 pagi tadi.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan 27 pemancar lagi masih belum dapat beroperasi.

"Daripada jumlah keseluruhan menara yang terjejas, 34 menara pemancar terpaksa diputuskan bekalan elektrik oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atas sebab keselamatan, manakala lima lagi terputus hubungan disebabkan oleh jalan yang dinaiki air dan dua menara pemancar mengalami kerosakan peralatan elektronik," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan pecahan daerah, sebanyak 13 menara pemancar di daerah Penampang telah dibaik pulih, 19 lagi masih belum beroperasi, manakala di Kota Kinabalu, satu menara telah beroperasi semula dengan empat lagi dalam proses pembaikan.

Selain itu, kesemua tiga menara pemancar di daerah Tuaran dan satu lagi di daerah Kota Marudu masih belum beroperasi.

Dalam perkembangan sama, menurut MCMC satu daripada lima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terjejas dan tidak dibuka kepada orang ramai untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali normal.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan bagi membolehkan pusat NADI di Kampung Sungai Damit, Tuaran boleh dibuka untuk operasi sesegera mungkin,” menurut MCMC. 

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa MCMC Sabah akan terus memantau untuk memastikan liputan telekomunikasi di keempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi dengan baik bagi kemudahan mangsa banjir.

“Berdasarkan hasil ujian pemantauan kualiti liputan (QoS), tiada aduan berkaitan kualiti liputan yang diterima di PPS berkenaan setakat ini,” kata MCMC. 

Pada Ahad lepas, selepas beberapa jam hujan lebat dari tengah hari, dilaporkan banjir kilat melanda Penampang dan Sipitang, menyebabkan banyak jalan tidak boleh dilalui, manakala kawasan di Kota Kinabalu dan Penampang turut mengalami pemotongan bekalan elektrik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan