AM

NRES PASTIKAN INDUSTRI NADIR BUMI DILAKSANA SECARA LESTARI - NIK NAZMI

03/07/2024 03:02 PM

SUNGAI PETANI, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memastikan operasi berkaitan industri mineral terutama perlombongan nadir bumi dilaksanakan secara lestari bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa akan datang.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penggunaan teknologi bersesuaian juga perlu dititikberatkan, di samping memastikan hasil mineral yang diperolehi dapat juga diproses di negara ini.

"Satu kertas kerja (berkaitan nadir bumi) akan dibawa oleh NRES ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Kita nak pastikan pemetaan (kawasan), kita ada banyak kajian dan anggaran, tapi nak tengok betul-betul mana lokasi sesuai untuk diekploitasi.

"Kita juga nak pastikan bukan sahaja dapat hasil secara kasar bahan mentah itu, tapi dapat juga memproses hasil itu di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menyertai Op Patuh Bersepadu Pemutihan Kawasan Pengoperasian Kitar Semula Secara Haram di kawasan perindustrian di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai enam kertas kerja baharu yang dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) Ketiga semalam yang berkaitan dengan beberapa dasar penting dan operasi berkaitan sektor mineral termasuk kerangka Dasar Mineral Negara.

Menurut Nik Nazmi, pada masa ini Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) telah terlibat dalam pemprosesan nadir bumi, namun ia berbeza dengan bahan mineral yang terdapat di negara kita.

"Lynas banyak bertumpu kepada nadir bumi daripada Austaralia, jenis dia lain sikit… Kita masih dalam perbincangan (untuk proses nadir bumi), rancangan nanti kita akan tengok di MTEN," katanya.

Beliau berkata di peringkat pengeluaran, perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Hulu Perak, Perak telah beroperasi.

Bagi tujuan pemprosesan bahan mineral itu pula, beberapa syarikat telah menunjukkan minat namun masih dalam proses perbincangan, tambah beliau.

"Kita sedang tengok apa yang baik kerana ia melibatkan pelaburan yang besar dan syarikat-syarikat tersebut mahu jaminan daripada kerajaan... prosedur operasi standard dah ada, kerajaan negeri dah maklum, cuma kita minta jangan kacau hutan, cuba eksploitasi di luar dulu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan