AM

RUU PENAGIH DADAH (RAWATAN DAN PEMULIHAN) (PINDAAN) 2024 MEMUDAHKAN, MESRA KLIEN - AADK

03/07/2024 08:30 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat semalam jelas bersifat memudahkan dan mesra klien secara menyeluruh, menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam kenyataan hari ini, AADK memaklumkan ini kerana kelebihan pindaan RUU itu adalah untuk mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan khususnya kepada mereka yang datang secara sukarela.

“Akses itu dibuka seluas-luasnya kepada klien terutama bagi kategori penyalah guna kerana mereka dapat dirawat untuk pulih lebih awal dan tidak menjadi semakin parah.

“Selain itu, pindaan RUU itu juga tidak mengetepikan peranan pegawai perubatan dan agensi lain yang berkaitan dalam merawat pulih penagih dadah,” menurut kenyataan itu yang menambah ia juga selaras dengan langkah kerajaan mengalihkan penagih dan penyalah guna dadah daripada hukuman pemenjaraan kepada program rawatan dan pemulihan secara menyeluruh.

RUU itu yang antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, RUU berkenaan bertujuan meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan.

Pindaan juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan, selain pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyakinya sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan