POLITIK

PENGUNDI INDIA TIDAK BOIKOT, SURVEI TULAR HANYA PERANG PSIKOLOGI - KUMARESAN

03/07/2024 11:30 PM

NIBONG TEBAL, 3 Julai (Bernama) -- Pengundi India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak akan memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu Sabtu ini, malah akan memberikan sokongan jitu kepada calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin, kata Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang A. Kumaresan.

Menafikan dakwaan kononnya 72 peratus kaum India akan memboikot PRK tersebut berikutan isu pembatalan pembinaan sekolah baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban itu berkata ia hanya perang psikologi yang cuba dimainkan pembangkang bagi menakutkan pengundi minoriti itu.

“Kita tahu ada beberapa isu yang dibangkitkan termasuk isu SJKT Sungai Bakap dan dijangka esok akan ada sidang media mengenai progress sekolah tersebut. Kita juga tahu ini bukan isu baharu dan telah lama berlanjutan.

“Setelah kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berada di bawah khemah yang sama (Kerajaan Perpaduan), maka kita yakin isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya pada sidang media bersama jentera parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) bagi PRK DUN Sungai Bakap di sini malam ini.

Kumaresan berkata berdasarkan hasil pemantauan dan program yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan mendapati rata-rata pengundi India yang merangkumi 17 peratus pemilih di Sungai Bakap memberikan maklum balas positif dengan terus menyokong kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sokongan itu juga berikutan gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan termasuk IPF yang telah memberikan fokus kepada dua pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Puteri Gunong dan Sungai Bakap yang mempunyai bilangan komuniti India yang ramai, selain melaksanakan program menyantuni masyarakat di Ladang Sempah, Kampung Besar, Sungai Kechil dan Tasek Junjong.

Bagaimanapun, Kumaresan mengakui untuk membawa pengundi India keluar mengundi Sabtu ini merupakan cabaran utama jentera Perpaduan, berikutan itu pihaknya akan melaksanakan beberapa kaedah bagi memastikan 80 peratus pengundi kaum itu akan keluar mengundi.

Beliau berkata antaranya menyediakan pengangkutan bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan kenderaan serta memberikan penjelasan mengenai kepentingan hak mereka termasuk 30 peratus pengundi muda India dalam PRK Sungai Bakap.

Sementara itu, Pengerusi IPF Pulau Pinang S. Kumareshan yang turut hadir pada sidang media itu berkata pihaknya akan membawa 500 pengundi India di PDM Puteri Gunong untuk mengundi iaitu 300 ahli IPF dan 200 penyokong parti tersebut.

Terdahulu tular satu perkongsian melalui aplikasi WhatsApp kononnya satu kajian yang dijalankan dalam kalangan masyarakat India di Sungai Bakap mendapati 72 peratus kaum itu akan memboikot PRK itu kerana Kementerian Pendidikan membatalkan pembinaan sekolah baharu SJKT Sungai Bakap dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, masih tidak memberikan kata putus.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan