POLITIK

PRK SG BAKAP: PH BERPOTENSI MENANG JIKA BERJAYA PIKAT UNDI MELAYU - IDE

03/07/2024 11:58 PM

SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) berpotensi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini jika berjaya meraih sekurang-kurangnya 36 peratus undi Melayu.  

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata berdasarkan survei empat hari yang dijalankan sehingga hari penamaan calon, pihaknya mendapati momentum sokongan berpihak kepada PH sebanyak 53.2 peratus berbanding Perikatan Nasional (PN) sebanyak 43.0 peratus. 

Beliau berkata PH, yang turut dibantu oleh Barisan Nasional (BN) terutama UMNO dalam menyokong calonnya, dilihat akan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan politik itu pada PRK DUN Sungai Bakap.

"Senario ini mampu diraih dengan tambahan beberapa situasi faktor yang membantu jika PH juga berjaya meyakinkan pengundi India khususnya di kawasan daerah mengundi iaitu Sungai Bakap (20 peratus), Puteri Gunong (26 peratus) serta Ladang Sempah (25 peratus) dan hal ini turut diperkukuh jika pengundi Cina kekal dengan jumlah maksimum keluar mengundi," menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Mengenai sokongan belia pula, Mohammad Redzuan berkata ia di tahap seimbang bagi kedua-dua pihak iaitu 44.4 peratus dan bagi memastikan kemenangan, PH perlu mencari jalan untuk memikat 11.1 peratus pengundi muda atas pagar memandangkan 53.8 peratus pengundi di DUN itu terdiri daripada golongan tersebut. 

"Bagi pengundi muda khususnya yang berumur 18 hingga 24 tahun, Survei IDE menunjukkan golongan ini cenderung untuk mengundi berdasarkan pengaruh ibu bapa dan rakan sebaya. Sumber maklumat mereka adalah berdasarkan kepada media sosial seperti TikTok," katanya. 

Mohammad Redzuan berkata potensi kemenangan PH turut disumbangkan oleh keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal. 

"Pengundi mengharapkan ADUN yang menang kelak mampu memperjuang isu lokal demi kesejahteraan masa depan rakyat. Komitmen Kerajaan Pusat dan Negeri yang mencadangkan beberapa penyelesaian segera dilihat positif oleh pengundi," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan