JENAYAH & MAHKAMAH

KERANI FIRMA GUAMAN DIDAKWA RASUAH KENALAN UNTUK BUAT LAPORAN POLIS PALSU

04/07/2024 11:52 AM

MELAKA, 4 Julai (Bernama) -- Seorang kerani firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dakwaan memberi suapan kepada seorang kenalannya untuk membuat laporan polis palsu bagi tuntutan kemalangan jalan raya, tujuh tahun lepas.

R. Selvarajah, 59, didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Abdul Karim Mohamad sebagai dorongan kepada lelaki berkenaan untuk membuat laporan polis palsu pada 11 Mei 2017.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Melaka Raya 12, Taman Melaka Raya di sini antara 10 hingga 31 Mei 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali serta pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam tertuduh R. Nahdan memohon jaminan dikurangkan memandangkan Selvarajah menanggung seorang anak yang masih belajar manakala isterinya menghidap kanser.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos depan untuk serahan dokumen serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan