AM

DUN SELANGOR: KEDUDUKAN KERUSI ADUN SELAT KLANG DIUBAH

04/07/2024 01:20 PM

SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini menyaksikan perubahan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari daripada blok pembangkang.

Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata untuk sementara waktu, Abdul Rashid ditempatkan di antara blok pembangkang dan blok kerajaan mengambil kira statusnya yang tidak mempunyai keanggotaan dalam mana-mana parti ketika ini. 

"Ini (kedudukan kerusi) juga dilakukan dengan mengambil kira kekananan beliau sebagai ADUN penggal kedua dan juga kekananan beliau yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya pada Persidangan DUN Selangor ke-15 yang bermula hari ini.   

Lau membuat keputusan itu selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangun bagi memohon petua berkenaan perkara itu dalam memastikan keharmonian dan kelancaran sidang dewan. 

Sebelum ini, Abdul Rashid telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor telah menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Selat Klang kepada Lau berikutan keguguran keahlian Abdul Rashid sebagai ahli Bersatu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan