SUKAN

AUG 2024: TAEKWONDO DAN SILAT JELMA SATU EMAS

04/07/2024 02:53 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

Malang (Indonesia), 4 Julai (Bernama) -- Kem taekwondo dan silat menceriakan kontinjen negara apabila masing-masing menjelmakan satu pingat emas pada hari kesembilan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini. 

Emas dari taekwondo hadir dalam acara poomsae berpasukan wanita dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Seah Jing Ying dan Wong Zin dengan kutipan 7.735 mata keseluruhan menewaskan Vietnam (7.720) dan Singapura (7.7430) yang masing-masing meraih perak dan gangsa. 

Nur Humaira ketika ditemui mengakui Vietnam merupakan pencabar utama kerana pasukan itu terkenal dengan fleksibiliti mereka, namun hasil kerja keras pasukannya, mereka mampu mengatasi lawan dengan mengurangkan kesilapan ketika persembahan. 

Menurutnya dalam tempoh persediaan, mereka meneruskan jadual latihan seperti biasa meskipun tanpa kehadiran jurulatih yang bercuti selama tiga minggu kerana ibunya meninggal dunia.

“Vietnam popular dengan fleksibiliti tapi hasil latihan keras, kami tak lakukan kesalahan sehingga boleh menang, terbayar hasil kerja keras sebab kami pun ada yang tak sihat,” katanya kepada pemberita selepas kejohanan yang berlangsung di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB) di sini sini hari ini. 

Sementara itu, skuad silat menjelmakan emas menerusi Maizal Mazli Mansor dan Muhammad Azri Farhan Mohamad Azli yang mengutip 9.940 mata untuk mengungguli acara silat seni kategori Ganda Putera, menumpaskan Indonesia dengan 9.900 mata dalam pusingan final sebentar tadi. 

Muhammad Hafiez yang mewakili Malaysia dalam Tunggal Putera pula terpaksa akur dengan pingat perak dengan 9.895 mata di belakang atlet Indonesia, Amigos yang menyambar emas dengan catatan mata 9.950.

Malaysia turut memperoleh satu lagi pingat perak dalam acara Ganda Wanita menerusi Aisyah Umairah Mohd Rosbi dan Wan Nuraini Fakhira Wan Azli yang mencatat mata 9.880 diatasi pencabar tuan rumah Ismi Nurcahyani dan Alvi Rukmana dengan 9.950 mata.

-- BERMAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan