AM

LAWAT PAMERAN HANG TUAH, MELAKA BERI INSENTIF KHAS KEPADA SEKOLAH

04/07/2024 03:18 PM

MELAKA, 4 Julai (Bernama) -- Insentif khas RM100 diberikan kepada setiap sekolah di negeri ini bagi membolehkan pelajar terpilih mengunjungi Pameran Hang Tuah, yang kini berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sehingga hujung bulan ini, secara percuma.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata insentif itu bertujuan menggalakkan generasi muda mengambil inspirasi daripada Hang Tuah yang memiliki kebijaksanaan luar biasa, selain turut menyeru ibu bapa agar membawa anak-anak mereka ke pameran itu.

"Saya berharap generasi muda dan pelajar berjaya mengikuti jejak langkah Hang Tuah yang telah mengembara ke 14 buah negara di seluruh dunia seperti Jepun, Mekah, Turkiye dan Vatican City, Rom, sepertimana yang diketahui melalui surat penghargaan dan watikah yang diberikan kepada pahlawan tersohor itu berdasarkan kajian dan penemuan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Bijak Sejarah SPM Kerajaan Negeri Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Menurut Ab Rauf kehebatan Hang Tuah telah dikaji oleh 20 penyelidik di 22 buah negara dalam 20 bahasa di dunia termasuk penemuan dan artifak baharu.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama malah komited mentransformasikan Melaka sebagai hab pendidikan terunggul negara. 

“Kita ada pelbagai inisiatif dalam usaha memartabatkan mutu pendidikan di negeri ini termasuk memperuntukkan RM14.5 juta bagi menjayakan Inisiatif Kecemerlangan Pendidikan dan ia disalurkan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (PERTEM). 

“Malah kita turut mempunyai 23 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan anak-anak untuk menyambung pelajaran yang mana bidang ini juga mempunyai skop kerja yang sangat luas,” katanya. 

Terdahulu, seramai 416 pelajar yang melakar keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STAM 2023 di samping 600 pelajar yang mencapai A+ dalam subjek sejarah SPM 2023 diraikan dalam majlis hari ini.

Seramai enam pelajar yang menerima keputusan A+ penuh turut menerima cek Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000, wang tunai RM200 bagi insentif Bijak Sejarah, sijil dan plak penghargaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan