AM

AMIRUDIN BENTANG KAJIAN SEPARUH PENGGAL RS-1

04/07/2024 03:25 PM

SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) bagi menilai semula empat teras strategik dalam kerangka rancangan pembangunan lima tahun kerajaan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata empat teras berkenaan ialah pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian serta tadbir urus S.M.A.R.T dan berkesan. 

Beliau berkata KSP RS-1 menggunakan pendekatan sistematik dalam menilai kemajuan dan mengenal pasti cabaran dalam fasa pertama pelaksanaan bagi tempoh 2021-2023 selain menjalankan pelarasan yang diperlukan. 

"Sepanjang pelaksanaan KSP ini, lebih daripada 120 pemegang taruh daripada pihak kerajaan dan swasta telah terlibat melalui pelbagai bengkel dan perbincangan bersemuka. 

"Pendekatan ini diguna pakai bagi memastikan dapatan kajian disahkan dengan sumber-sumber yang sahih dan tepat serta rancangan-rancangan yang akan datang telah mendapat persetujuan dan sokongan daripada pemegang-pemegang taruh yang berkaitan," katanya ketika membentangkan kajian itu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.  

KSP-RS1 merupakan usaha julung kali kerajaan Selangor selain perangkaan pelan pembangunan ekonomi tahunan yang dibuat menerusi belanjawan tahunan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan