AM

LKAN: PROJEK RIVER OF LIFE DIJANGKA TIDAK DAPAT DISIAPKAN MENGIKUT JADUAL

04/07/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Projek River Of Life (RoL) yang dilancarkan pada 2010 dijangka tidak akan berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024.

Menurut laporan itu sehingga Julai tahun lepas lapan projek di bawah RoL masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus, manakala kontraktor penyiap bagi dua projek yang ditamatkan kontrak sebelum ini belum dilantik, sementara 12 projek lagi masih belum dimulakan.

Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja-kerja pengindahan sungai telah disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.

“Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dengan peningkatan kos kepada kerajaan,” menurut laporan itu.

RoL merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan pada tahun 2010, dengan kos siling berjumlah RM4.363 bilion bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi.

Kawasan RoL merangkumi 110 kilometer Lembangan Sungai Klang dan dijangka siap pada tahun 2024.

Pengauditan juga mendapati kesemua objektif RoL masih belum berjaya dicapai termasuk untuk meningkatkan kualiti air sungai, disebabkan kelemahan dalam aspek perancangan dan  pelaksanaan projek serta tahap pematuhan efluen dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah.

“Hasrat kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah tertakluk kepada pemilik masing-masing,” menurut laporan itu.

Pengauditan juga mendapati model perniagaan yang tidak komprehensif telah menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan, menyebabkan aset RoL tidak diselenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan.

Semakan audit mendapati sehingga November lepas daripada 835 aset pembersihan sungai, 147 aset didapati tidak beroperasi iaitu 80 berpunca dari kerosakan manakala 67  telah dirobohkan dan tidak boleh digunakan.

Laporan penyenggaraan dan lawatan mendapati antara punca kerosakan ialah masalah mekanikal dan elektrik, kecurian kabel, log boom putus dan masalah bekalan elektrik, dengan analisis audit menunjukkan tempoh pembaikan bagi 10 aset adalah antara tiga bulan hingga empat tahun tiga bulan manakala baki 11 kerosakan masih belum dibaiki.

Pengauditan juga menemui kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek

Sehubungan itu, laporan berkenaan mengesyorkan antaranya agar Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menilai semula projek yang masih dalam peringkat pra pelaksanaan, sama ada perlu diteruskan atau tidak dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan