AM

SELANGOR CATAT PURATA KDNK 7.43 PERATUS, LANGKAUI SASARAN RS-1

04/07/2024 04:41 PM

SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Selangor mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2023 sekali gus mengatasi sasaran lima tahun ditetapkan pada Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu mencerminkan keupayaan negeri itu untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkesan.

“Dalam pengumuman terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai lepas, Selangor mencatatkan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 7.43 peratus melebihi sasaran purata pertumbuhan KDNK bagi tempoh 2021-2025 yang telah ditetapkan dalam RS-1 iaitu antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RS-1  di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini. 

Amirudin berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menyumbang sebanyak 27 peratus kepada KDNK negara berdasarkan perkembangan terkini dan mengambil kira hala tuju yang seiring antara pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri. 

“Kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk purata nilai pelaburan tahunan antara RM23 bilion hingga RM35 bilion. Pada 2021-2023, Selangor telah mencatatkan pencapaian yang mengagumkan dengan mencapai purata nilai pelaburan sebanyak RM39.4 bilion dalam sektor utama yang kompleks," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang mampan dan berkesan, serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pusat pelaburan utama di rantau ini.

KSP RS-1 dibentangkan bagi menilai keberkesanan sistem pelaksanaan negeri, membuat anjakan baharu yang terkandung dalam Lima Tekad Lima Tahun dan melaksana usaha baharu berteras Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan