AM

MANGSA BANJIR OKU DI PENAMPANG TERHARU RAMAI TAMPIL MEMBANTU

04/07/2024 04:44 PM

PENAMPANG, 4 Julai (Bernama) -- Seorang penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut menjadi mangsa banjir di Kampung Dabak di sini menarik nafas lega dan terharu apabila menerima bantuan yang tidak putus-putus sejak semalam.

Francis Xavier Kinjin @ Oliver Putut, 40, yang dilahirkan dengan focomelia iaitu gangguan kongenital menyebabkan tangan dan kaki seseorang menjadi lebih pendek atau hilang sama sekali berkata beliau yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang dibenarkan pulang ke rumah petang semalam.

Beliau berkata lebih mengharukan lagi apabila beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang berhasrat untuk membantu, antaranya untuk membersihkan rumah.

"Sejak semalam ramai yang telefon untuk bertanyakan keadaan saya dan mahu datang untuk menghulurkan bantuan seperti membersihkan rumah dan sebagainya.

"Pagi tadi apabila saya bangun, saya terkejut melihat Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Peter Mojuntin dengan beberapa lagi pihak sukarelawan lain datang ke sini dan menghulurkan bantuan serta bersama-sama membersihkan rumah yang dimasuki tanah dan lumpur," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini hari ini.

Menceritakan kejadian banjir berkenaan, Francis Xavier berkata ia adalah kali kedua banjir besar berlaku di kampung berkenaan sejak beliau dilahirkan dan menetap di situ sejak 40 tahun lepas.

"Seingat saya, banjir besar pernah berlaku pada 1999 dan ia adalah lebih besar daripada kali ini kerana ia berlanjutan sehingga tiga hari...pada kali ini, banjir juga besar sehingga ramai penduduk mengalami kerugian kerana kerosakan harta benda, namun banjir pulih lebih cepat.

"Kejadian banjir bukan perkara luar biasa berlaku di kampung ini kerana setiap tahun akan berlaku satu atau dua kali banjir, namun ia tidak besar dan air hanya naik hingga paras lutut dan ia berbeza dengan banjir kali ini yang naik sehingga tiga meter," katanya.

Beliau berkata semasa banjir berkenaan berlaku kira-kira pukul 5 petang Ahad lepas, kebetulan adik angkat dan ibu beliau berada di situ.

"Kebetulan mereka ada di sini dan mereka yang membantu saya menyelamatkan apa-apa barang yang boleh diselamatkan dan saya cuma berpindah ke PPS pagi Isnin lepas. Untuk banjir kali ini saya anggarkan kerugian sebanyak lebih RM10,000 kerana banyak barang yang rosak seperti peti ais dan pelbagai barangan elektrik lain," katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan daripada "Broom Army'' Christoper Suis, 53, berkata  beliau bersama beberapa lagi sukarelawan lain datang untuk membersihkan rumah Francis Xavier, termasuk beberapa lagi rumah yang memerlukan bantuan khususnya golongan OKU dan warga tua.

"Hari ini kami telah membahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu bersihkan rumah mangsa yang memerlukan bantuan...kita juga mengagihkan makanan tengah hari kepada mangsa yang terlibat.

"Kami menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak dan kita akan bertugas untuk mengagih-agihkan bantuan berkenaan dan saya berharap agar lebih ramai individu di luar sana yang mahu bersama-sama kami melakukan misi sukarelawan ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan