POLITIK

PRK SG BAKAP: POLIS TERIMA EMPAT LAPORAN BERHUBUNG SALAH LAKU KEMPEN

04/07/2024 04:57 PM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Sebanyak empat laporan polis atas pelbagai kesalahan diterima sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang berbaki dua hari lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada empat laporan itu, dua disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 manakala masing-masing satu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat ke atas bendera parti dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri kain rentang (banner) kempen. 

“Buat masa ini, keseluruhan perjalanan kempen yang terkait dengan isu keselamatan adalah terkawal,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK DUN Sungai Bakap Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon PH bagi PRK itu Dr Joohari Ariffin.

Saifuddin Nasution berkata sepanjang kempen PRK itu yang bermula 22 Jun hingga hari ini, sebanyak 153 permit izin penganjuran program telah diluluskan oleh polis untuk parti PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Penting saya sebut di sini bahawa tidak ada satu pun permohonan ditolak. Maknanya tiada sebarang halangan, tiada sebarang kekangan,” katanya sambil menambah seramai 835 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang PRK itu berlangsung.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata dengan kejayaan tanpa sebarang insiden tidak diingini sehingga kini itu, sekali gus menolak tohmahan pihak lawan yang memberikan gambaran kempen mereka ibarat terkongkong dan diintip secara berlebihan.

“Fakta yang saya bentangkan menunjukkan sangat tenteram dan aman serta kesemua izin penganjuran kempen itu diberikan mengikut lunas undang-undang dan tidak seperti yang digambarkan bahawa mereka diintip oleh sepasukan polis dalam jumlah yang berlebihan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas hingga 11.59 malam, esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan