SUKAN

KEM OLAHRAGA CAPAI SASARAN 10 PINGAT EMAS

04/07/2024 09:29 PM

MALANG (Indonesia), 4 Julai (Bernama) -- Kem olahraga terus menyinar dengan menambah empat pingat emas di hari kesembilan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Lapangan Atletik Universitas Negeri Surabaya (UNESA) menyaksikan Muhammad Azeem Mohd Fahmi sekali lagi cemerlang mengungguli acara 200 meter (m) dengan catatan masa 21.15 saat (s) meninggalkan pelari tuan rumah Muhamad Ramdan Fitadi (21.43s) dan pencabar Thailand Ruamchok Semathong (21.80s). 

Kecemerlangan itu diteruskan atlet tukul besi Sadat Marzuki Ajisan yang menyambar pingat emas selepas melakukan balingan sejauh 59.18 m menewaskan pencabar tuan rumah Putera Rafika 47.48 m dan atlet Filipina John Laur Ballelos 45.75 m. 

Acara 800 m lelaki turut membutirkan satu pingat emas menerusi Wan Muhamad Fazri Wan Zahri yang menamatkan larian dengan catatan masa 1:51.28 s di hadapan pelari Filipina David Paul Matibag (1:52.25 s) dan atlet Timor Leste Manuel Belo Amaral (1:53.51 s). 

Emas keempat olahraga muncul menerusi acara lompat tinggi lelaki selepas Muhammad Aiman Syazwan Abdullah melakukan catatan 2.10 m menewaskan rakan senegara Farrel Felix Jurus (2.05 m) yang meraih perak dan atlet tuan rumah Rafael memperoleh gangsa (2.05 m). 

Dengan empat pingat emas ini, skuad olahraga mencapai sasaran 10 pingat emas selepas mengumpul empat pingat emas semalam dan dua pada Selasa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan