AM

Prk Sg Bakap: Siapa Pilihan Pengundi Ditentukan Hari Ini

06/07/2024 07:06 AM

NIBONG TEBAL, 6 Julai (Bernama) -- Seramai 39,151 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Sebanyak sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.

Bagaimanapun, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Bagi dua calon bertanding itu, hanya Abidin yang akan mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, salah satu DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan yang pertama diadakan ialah PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) disusuli PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor). 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan