DUNIA

Bursa Malaysia Dijangka Meningkat Semula Minggu Depan

06/07/2024 10:09 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka meningkat semula minggu depan, didorong oleh sokongan berterusan daripada dana asing dan sentimen pasaran yang lebih baik, menurut penganalisis.

Ketua Penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong menjangka paras 1,600 akan menjadi tumpuan berikutan indeks utama dilihat akan mempertahankan paras tersebut.

Beliau berkata sebarang penurunan akan diimbangi oleh kemasukan semula dana asing. Saham berharga rendah juga mencatatkan kadar belian atau jualan yang sederhana susulan peningkatan baru-baru ini.

“Untuk minggu depan, pelabur akan memantau kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell untuk mendapatkan petunjuk mengenai tempoh kemungkinan penurunan kadar dan keputusan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kami menjangka BNM akan mengekalkan kadar tidak berubah buat masa ini, terutamanya jika tiada sebarang perubahan ekonomi yang ketara baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka belian akan bersambung semula minggu depan walaupun pada minggu dagangan yang singkat.

“Kami menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,610-1,630 minggu depan,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 20.93 mata kepada 1,611.02 daripada 1,590.09 minggu lepas.

Pada minggu ini, pasaran kebanyakannya kukuh sejajar dengan prestasi bursa serantau yang lebih baik. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 228.59 mata kepada 12,444.99, Indeks FBMT 100 naik 214.82 mata kepada 12,012.88, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 254.18 mata kepada 12,806.88, Indeks FBM 70 menambah 543.60 mata kepada 18,385.49 dan Indeks FBM ACE naik 193.03 mata kepada 5,966.31.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 31.33 mata kepada 986.75, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.07 mata kepada 199.92, Indeks Perladangan naik 22.92 mata kepada 7,005.64 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 148.71 mata kepada 17,603.44.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan naik kepada 23.79 bilion unit bernilai RM17.49 bilion daripada 23.5 bilion unit bernilai RM16.91 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 13.10 bilion saham bernilai RM14.49 bilion daripada 12.71 bilion saham bernilai RM14.66 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 4.86 bilion unit bernilai RM693.98 juta daripada 6.36 bilion unit bernilai RM805.4 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 5.82 bilion saham bernilai RM2.29 bilion daripada 4.39 bilion saham bernilai RM1.45 bilion sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan