AM

Hanya ‘rm10’ Pengunjung Program Madani Rakyat Berpeluang Mencantikkan Kuku

06/07/2024 01:40 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Berbekalkan RM10 orang ramai yang mengunjungi Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur tidak sekadar berpeluang membuat pilihan sama ada membeli pelbagai barangan yang dijual di sini tetapi juga boleh mencantikkan kuku. 

Bertempat di Dataran Sayang Kuantan, pakej ‘istimewa’ yang ditawarkan oleh pelajar GiatMARA ini menarik perhatian ramai pengunjung khususnya wanita apabila perkhidmatan itu tidak putus-putus menerima kedatangan pelanggan sehingga terpaksa beratur menunggu giliran.

Terkejut dengan ‘harga istimewa’ rawatan mencantikkan kuku itu, membuatkan penjawat awam Norhazlia Md Isa, 40, tidak mahu melepaskan peluang mencubanya apatah lagi ia dilihat sebagai tawaran terbaik bagi ‘merehatkan diri’ sebentar selepas menerokai pelbagai aktiviti menarik di PMR. 

“Saya sebenarnya singgah sekejap ke sini (PMR) selepas hantar anak ke stadium. Tak sangka dengan hanya RM10 boleh buat rawatan cantikkan kuku, manakala perkhidmatan refleksologi hanya RM15 bagi 15 minit.

“Siapa yang tidak teruja untuk mencubanya… lagipun harga di luar jauh lebih mahal,” kata wanita ini kepada Bernama. 

Tidak hanya Norhazlia, seorang pengunjung dari Pekan Engku Nurul Hidayah Engku Othman, 34, berkata beliau tidak sangka kunjungan ke PMR untuk membayar saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus turut membuka matanya akan peluang buat anaknya menyambung pengajian  di GiatMARA menerusi kursus Spa dan Kesihatan.

 “Anak saya tidak begitu minat dengan akademik, jadi saya ingat nak fokuskan dia kepada latihan kemahiran dan dia pula sangat meminati benda berkaitan dengan mencantikkan diri. Jadi, apabila melihat pakej yang ditawarkan oleh pelajar GiatMARA ini saya ingin mencubanya.

“Walaupun hanya RM10, rawatan mencantikkan kuku yang mereka buat sangat bagus dan terasa sangat ‘relax’. Lepas mencubanya, saya yakin kursus ini terbaik buat anak dan saya ambil peluang ini untuk bertanya kepada tenaga pengajar,” kata peniaga makanan ini.

Seramai enam pelajar GiatMARA terlibat dalam menyediakan perkhidmatan itu, tenaga pengajarnya Nurul Azni Hamzah berkata sambutan yang diterima sebaik dibuka 9 pagi dan berakhir 6 petang sangat menggalakkan. 

Malah, beliau menjangkakan pada hari ini dan esok iaitu hari terakhir PMR, sambutannya dijangka lebih meningkat memandangkan cuti hujung minggu sekali gus membolehkan bukan sahaja pengunjung sekitar Pahang untuk datang ke PMR tetapi juga mereka dari Terengganu dan Kelantan.

“Pelajar ini sedang belajar dan mencari tapak selepas mereka habis kursus nanti. Jadi, saya berpandangan program seperti PMR banyak membuka ruang atau platform buat mereka untuk mengenali realiti sebenar dunia pekerjaan dalam bidang ini dan mencari peluang mengasah latihan diterima,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan