AM

Prk Sg Bakap: Medan Pertemuan Semula Lima Sahabat

06/07/2024 05:14 PM

NIBONG TEBAL, 6 Julai (Bernama) -- Seorang pengundi muda yang pertama kali mengundi hari ini memanfaatkan pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini, sebagai medan pertemuan semula dengan rakan lama sekolahnya.

Hana Humaira Yusrizal, 19, berkata keterujaan mengundi hari ini menyebabkan dia bangun seawal 6 pagi kerana tidak sabar ke pusat pengundian untuk bertemu empat lagi rakan baiknya sejak di bangku sekolah rendah.

“Ini sekolah lama saya sejak Tahun Satu dan saya memang teruja apabila diberi peluang sebagai pengundi buat kali pertama.

“PRK ini juga ada seronoknya sebab kami semua berpeluang bertemu kerana rakan-rakan saya ini ada yang meneruskan pelajaran di tempat lain,” kata pelajar Tingkatan Enam itu kepada pemberita sejurus selepas proses pengundian.

Hana Humaira yang tiba pada 9 pagi bersama empat rakan baiknya Nur Afiqah Syamimi Mohd Zaidi, Farah Farhana Azhar, Nur Athirah Mohd Zahid dan Amirah Syakirah Arfeni berkata mereka semua berjanji untuk bertemu di satu tempat sebelum bersama-sama ke pusat pengundian berkenaan.

Bagi Farah Farhana pula keterujaan melihat dakwat dicalit di tangan oleh petugas pilihan raya merupakan momen bersejarah yang tidak akan dilupakannya. 

“Keterujaan itu membuatkan saya juga rasa cemas semasa masuk ke saluran mengundi, padahal ia proses biasa,” katanya yang berharap golongan muda sepertinya dapat memilih pemimpin yang berkaliber untuk memimpin ke arah kemajuan negara.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan