AM

Prk Sg Bakap: Seronok Jadi Pemandu Arah Pusat Mengundi, Bantu Lancarkan Urusan Pengundi

06/07/2024 06:08 PM

NIBONG TEBAL, 6 Julai (Bernama) -- Pemandu arah pusat mengundi (PAPM) menjadi antara penugasan penting setiap kali adanya pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pengundian di pusat mengundi.

Bagi Nurul Nadira Ahmad Kamal, 22, peluang menjadi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu paling dinantikan kerana bukan sahaja boleh menimba pengalaman baharu malah lebih menyeronokkan apabila dapat berbakti kepada masyarakat khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Petugas swasta dari Kuala Ketil, Kedah itu berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah pilihan raya ketiga dia bertugas sebagai PAPM.

“Kali pertama saya jadi petugas PAPM adalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kemudian Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas. Saya ikut abang, Ahmad Kamarul Khairy, dia yang isi nama tetapi kami terpisah sebab dia ditugaskan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi.

“Seronok (jadi pemandu arah) kita boleh lihat pelbagai ragam di samping itu inilah peluang hendak melakukan khidmat sosial kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng dekat Bandar Tasek Mutiara di Simpang Ampat, di sini hari ini.

Bagi Nurul Fatini Azwa Abdul Razak, 26, pula dia teruja kerana ini kali pertama menjadi petugas kerana ingin mengisi masa lapang selepas diajak oleh ibunya Zaitun Haroon, 54, yang sudah dua kali menjadi PAPM.

Bagaimanapun, pada PRK kali ini ibunya ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, manakala dia dan bapanya turut menjadi petugas ditempatkan di SJKC Boon Beng.

Sementara itu, Muhamad Syafiq Saleh, 35, pula berkata dia berminat menjadi petugas SPR kerana dapat melihat proses demokrasi secara dekat selain membantu melancarkan urusan pengundi.

Pemuda berasal dari Bagan Tiang, Perak itu berkata peluang seperti itu tidak selalu datang kerana perlu menunggu lima tahun sekali untuk diadakan PRU justeru kesempatan yang ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu dengan 5,935 pemilih direkodkan mengundi di SJKC Boon Beng.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan