AM

Maal Hijrah: Konsep Al-falah Beri Manfaat Besar Kepada Bangsa, Agama Dan Negara - Tpm

06/07/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Konsep Al-Falah yang diterapkan dalam tema Maal Hijrah 2024/1446 pada tahun ini penting bagi menjamin keberhasilan masyarakat untuk manfaat yang lebih besar kepada bangsa, agama dan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tema Maal Hijrah tahun ini ialah 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' dan ‘Falah’ secara definasinya membawa erti kejayaan.

“Awal Muharam atau Maal Hijrah adalah amat penting kerana ia menceritakan pengkisahan peristiwa sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baharu bagi takwim hijrah.

“Selain daripada doa akhir dan awal tahun yang sangat dituntut untuk dibaca, mudah-mudahan kita juga dapat mengambil sedikit waktu untuk bermuhasabah serta menguatkan lagi keazaman kita dalam berusaha melunaskan fardu ain dan fardu kifayah. Salam Maal Hijrah 1446H kepada seluruh umat Islam,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau turut mendoakan semoga tahun baharu Islam ini membawa keberkatan, rahmat dan keredaan Allah SWT kepada semua.

Bagi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah bukan sahaja merubah takwim hijrah tetapi juga membawa perubahan yang besar dalam sejarah Islam.

“Peristiwa ini mengajar kita tentang erti ketabahan, keberanian dan ketekunan dalam menghadapi cabaran. Ia juga mengingatkan kita tentang pentingnya perpaduan dan keberkatan dalam setiap langkah yang kita ambil.

“Marilah kita mengisi tahun baharu hijrah ini dengan memperbanyakkan doa, meningkatkan amal kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Semoga kita sentiasa diberkati dan mendapat hidayah dalam setiap langkah dan tindakan yang diambil. Insya-Allah Malaysia akan terus aman dan makmur,” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berkata semoga kedatangan tahun baharu hijrah ini menjadi titik tolak buat semua untuk membuka lembaran yang lebih baik dalam kehidupan.

“Marilah kita manfaatkan kesempatan ini untuk memperbaiki diri, mempertingkatkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal tetapi juga perubahan dalam hati dan niat kita.

“Semoga semangat hijrah ini memberi kita kekuatan untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan dengan penuh kesabaran dan keimanan. Insya-Allah dengan keberkatan awal Muharam ini, kita akan diberi petunjuk dan hidayah untuk mencapai kejayaan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa Ahmad berkata Maal Hijrah mengajar kita tentang erti kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian serta cabaran hidup dan proses hijrah bukanlah satu perjalanan yang mudah.

“Namun Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tetap teguh dan sabar, meyakini bahawa dengan izin Allah, segala kesukaran akan dapat diatasi. Pengajaran ini sangat relevan dalam kehidupan kita sehari-harian kerana kita sering berdepan dengan pelbagai dugaan. Kesabaran dan ketabahan adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan dan keberkatan.

“Maal Hijrah membawa pelbagai pengajaran yang sangat bermakna kepada kita semua. Antara ibrah utama adalah tentang pentingnya pengorbanan dalam mencapai matlamat yang lebih besar. Kisah hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah memperlihatkan pengorbanan besar yang dilakukan oleh baginda untuk mempertahan dan menyebarkan agama Islam," katanya.

Beliau berkata Maal Hijrah turut menekankan isu kepentingan perpaduan dan ukhuwah.

“Setibanya di Madinah, Nabi Muhammad SAW segera memupuk semangat persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar dan persaudaraan ini menjadi asas kukuh dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan kuat.

“Semangat perpaduan ini perlu kita semai dalam diri masyarakat Malaysia untuk memastikan kita dapat hidup dalam aman dan damai, saling menghormati serta membantu antara satu dengan yang lain,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua muslimin serta muslimat.

“Maal Hijrah merupakan hari yang penting bagi seluruh umat Islam atas peristiwa penting yang berlaku iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622M.

"Marilah kita bersama-sama merenung makna sebenar perjuangan dan meneruskan perjuangan ini dengan membawa nilai-nilai Islam yang baik dan harmoni,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan