JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Serbu 10 Premis Urut Tawar Khidmat Seks Guna, Tahan 39 Wanita Warga Asing

07/07/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Polis menahan 39 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pekerja seks dan tukang urut dalam serbuan di 10 premis urut sekitar Lembah Klang, Jumaat lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman SAC Mohamad Farouk Eshak berkata wanita yang ditahan terdiri daripada 22 warga Thailand, enam Laos, masing-masing lima dari Vietnam dan Indonesia serta seorang warga Kemboja berusia lingkungan 19 hingga 50-an.

Beliau berkata turut ditahan sembilan lelaki termasuk seorang warga asing yang merupakan penjaga kaunter premis, selain seorang pelanggan premis.

“Siasatan mendapati premis urut ini dipercayai melakukan kesalahan menggajikan wanita warga asing tanpa permit yang sah, di samping menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan seks dan urutan.

“Kebanyakan premis urut ini menyasarkan warga asing dan pelanggan tetap sahaja dengan menawarkan harga untuk pelbagai perkhidmatan bermula dari RM50 sehingga  RM150 sehingga RM320,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata semakan mendapati kebanyakan wanita asing yang ditahan menyalahguna pas lawatan sosial dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri, dan kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu dalam kes berasingan dua lelaki dipercayai berperanan sebagai penganjur pertaruhan judi bola sepak EURO 2024 ditahan di dua unit kondominium di Jalan Genting Klang dan Taman Wahyu di sini, semalam.

Mohamad Farouk berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai menerima gaji RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dan aktiviti (pertaruhan judi bola sepak) itu boleh mengaut keuntungan sehingga RM12,000 sehari.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan