KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan tingkatan empat yang meninggal dunia pagi tadi di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berasa berdukacita menerima berita berkenaan.
“Saya dan Azizah mendoakan semoga roh anak ini dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Semoga keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggerakkan bantuan serta sokongan kaunseling yang diperlukan kepada keluarga dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
“Saya memohon semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga dan mengelakkan penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, sementara pihak polis menjalankan siasatan,” kata beliau.
Hari ini, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima maklumat berhubung pelajar ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di Seremban pada 10.48 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata tiada unsur buli dikesan setakat ini dalam kes membabitkan pelajar berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial