AM

PM Ucap Tahniah Kepada Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1446h/2024m

07/07/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi yang masing-masing diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa bagi tahun 1446H/ 2024M.

Menerusi hantaran di Facebook Anwar juga menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan hari ini. 

Sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini yang bertemakan 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). 

Menerusi hantaran itu Perdana Menteri turut menyentuh erti hijrah yang menuntut pengorbanan dan perjuangan yang bererti, yang harus dimulakan oleh diri sendiri dengan merubah jiwa dan minda. 

"Allah SWT meletakkan prasyarat Taghyir al-Nufus (perubahan jiwa dan minda) untuk merubah nasib bangsa ke arah Malaysia yang MADANI dan berketerampilan.

"Di sebalik maksud hijrah, tersirat makna harapan, terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan rakyat, dan harapan tersebut mesti terjelma dengan kerja keras dan dukungan rakyat terbanyak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan