AM

Penghijrahan Sarawak Dapat Perhatian Dunia - Abang Johari

07/07/2024 04:10 PM

KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Penghijrahan Sarawak mendapat perhatian dan pengiktirafan dunia terutama dari segi tadbir urus yang menekankan isu alam sekitar dan kelestarian, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata hal ini terbukti apabila negara luar sering mengundang beliau untuk berkongsi kaedah menguruskan alam sekitar yang menyumbang kepada kebaikan manusia dan sejagat.

“Kita berhijrah ke cara baharu, kita dapat mengatasi masalah dunia pada hari ini (perubahan iklim dan keselamatan makanan), saya insya-Allah bulan depan dijemput ke Sydney, Australia untuk memberikan ceramah mengenai cara Sarawak dalam menguruskan alam sekitar.

“Kalau bulan lepas di Poland, Eropah selepas itu Bangkok di Thailand, insya-Allah selepas Sydney akan ke Hong Kong. Bukan sahaja orang Islam berhijrah ke arah kebaikan, orang bukan Islam juga berhijrah bersama," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1446 di sini hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Abang Johari berkata Piagam Madinah perlu dijadikan sebagai rujukan dan panduan dalam mengatur serta mengelola pentadbiran untuk menaik taraf kehidupan rakyat.

“Melalui pendidikan dan pegangan yang kuat dan usaha, kita di Sarawak akan terus berhijrah ke arah kebaikan dan Sarawak akan menjadi negeri yang makmur dan maju,” katanya.

Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi serta isteri turut menyampaikan Anugerah Maal Hijrah 1446 kepada 14 penerima anugerah berdasarkan kategori. 

Antaranya kategori  Anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan; Anugerah Penjawat Awam Islam; Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam; Anugerah Saudara Kita (Lelaki dan Perempuan) dan Anugerah Sukarelawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan