AM

3,000 Resume Diterima Di Karnival Kerjaya Sempena Program Madani Rakyat Zon Timur

07/07/2024 05:34 PM

KUANTAN, 7 Julai (Bernama) -- Sebanyak 3,000 permohonan pekerjaan telah diterima menerusi Karnival Kerjaya MyFutureJobs sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang telah memasuki penghujungnya hari ini.

Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang Hamzi Hanifa Mahyuddin berkata daripada jumlah itu, 200 individu telah ditawarkan pekerjaan manakala selebihnya masih dalam proses saringan dengan permohonan pekerjaan tertinggi adalah dalam sektor pembuatan dan perladangan.

"Sebanyak 28 majikan terlibat dalam karnival kerjaya yang menawarkan 1,795 kekosongan pekerjaan secara keseluruhannya. Majikan terbabit antaranya Petronas, Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd dan 99 Speedmart," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bilangan pemohon tertinggi berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang kebanyakannya merupakan siswazah atau mereka yang mencari pekerjaan baharu.

Hamzi Hanifa berkata siri karnival kerjaya seterusnya diharapkan akan dimanfaatkan orang ramai bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai berdasarkan kelayakan dan pendidikan pemohon.

Program MADANI Rakyat Zon Timur merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluas penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan