AM

Nota Diplomatik Kepada Pbb Tegaskan Kedaulatan Malaysia - Mohamad

07/07/2024 05:49 PM

SEREMBAN, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menegaskan kedaulatan negara ini, susulan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Beliau berkata nota diplomatik itu juga turut menjelaskan kedaulatan negara yang merangkumi Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan.

"Kita belum ada (terima) perkembangan … sebab Filipina membuat nota, kita pun buat nota. Ini hubungan diplomatik. Kita buat nota juga kepada PBB kerana ada nota dari Filipina menyatakan bahawa mereka mengambil kira sempadan laut dari Sabah.

"Bermakna mereka kata Sabah itu mereka punya … jadi, kita buat nota bantahan kepada PBB kerana penubuhan Sabah, kemerdekaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju dan diperakui PBB," katanya kepada pemberita.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang bergabung menjadi Malaysia yang berdaulat dan berharap pertikaian mengenai Sabah itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Media antarabangsa melaporkan, Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah.

"Pekara ini biarlah diputuskan di peringkat antarabangsa, kemungkinan sampai ke Mahkamah Antarabangsa, itu terpulang. Malaysia sebuah negara berdaulat, tiada siapa sewenang-wenangnya mengatakan bahawa satu daripada wilayah Malaysia itu merupakan wilayah mereka," kata Mohamad.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan