SUKAN

Jmr Raih Podium Di Suzuka

07/07/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Johor Motorsports Racing (JMR) meraih kedudukan podium pada  Fanatec GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun.

Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Mikael Grenier menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelas Pro-Am dan tempat ketiga keseluruhan pada pusingan ketujuh semalam, meskipun bermula dari petak kesembilan.

Jentera Mercedes-AMG GT3 EVO pasukan JMR mencatat masa sejam, satu minit dan 57.991 saat untuk muncul naib juara kategori Pro-Am di belakang pemandu Origine Motorsports Wei Lu-Laurin Heinrich (1:01:55.765s) manakala Ruo Han Huang-Markus Winkelhock dari Audi Sport Asia Team Absolute menduduki tempat ketiga (1:01:59.281s).

Bagaimanapun pada pusingan kelapan hari ini, JMR menduduki tempat keenam keseluruhan dan keempat kategori Pro-Am dengan masa 1:01:27.366s selepas beberapa insiden yang memaksa kereta keselamatan masuk ke trek dan penalti.

“Cuaca panas memaksa kami menguruskan tayar sepanjang hujung minggu ini. Saya fokus untuk memperoleh perlumbaan yang lancar dan kami bekerja keras bagi bersaing dengan jentera Mercedes lain,” kata Tunku Abu Bakar dalam kenyataan.

Tunku Abu Bakar yang berharap dapat memperbaiki kedudukan tempat keempat dalam siri 2023 akan beraksi di pusingan seterusnya di Litar Antarabangsa Okayama dari 23 hingga 25 ​​Ogos diikuti Shanghai, China dari 14 hingga 15 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan