SUKAN

Kpt Ucap Tahniah Kejayaan Kontinjen Negara Di Aug 2024

07/07/2024 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara yang berjaya melepasi sasaran 35 pingat emas dan menduduki tempat ketiga negara terbaik pada kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

Secara keseluruhan kontinjen negara meraih 38 emas, 45 perak dan 60 gangsa sepanjang 11 hari kejohanan bermula 25 Jun hingga semalam di Surabaya dan Malang, Indonesia.

"Pastinya, pencapaian membanggakan ini adalah hasil usaha gigih kontinjen negara yang terdiri daripada 263 atlet dan 119 pegawai dengan 18 acara disertai kontinjen negara yang berentap bersama 11 negara ASEAN lain," menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan pertambahan insentif kepada pemenang AUG 2024 dengan RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,500 (gangsa).

Dalam pada itu KPT komited untuk menjayakan AUG siri ke-22 dengan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi temasya berkenaan pada 2026.

Kenyataan itu menyebut penganjuran sukan itu diyakini dapat terus melahirkan bakat terbaik sukan sekali gus melakar nama negara di persada antarabangsa.

"KPT turut komited bersama agensi serta badan sukan lain dalam usaha membangunkan bakat sukan yang berprestasi tinggi dan mampu bersaing secara kompetitif di arena antarabangsa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan