DUNIA

Sumbangan Daging Korban Raikan Golongan Kurang Bernasib Baik Pada Tahun Baharu Islam

07/07/2024 08:07 PM

SINGAPURA, 7 Julai (Bernama) --  The Muslim Converts’ Association of Singapore (MCAS) pada Ahad mengagihkan daging korban kepada kira-kira 700 keluarga, termasuk rakyat Malaysia di republik ini, dengan semangat memberi dan meraikan golongan kurang bernasib baik pada hari Tahun Baharu Islam atau Awal Muharram.

Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna berkata untuk majlis  "Sumbangan Korban" tahun ini, setiap keluarga menerima dua kilogram daging yang ditaja oleh penyedia perkhidmatan korban Hezom International, dengan penerima utama terdiri daripada golongan fakir miskin, mualaf, dan warga emas.

“Kami mulakan ini sejak 2016. Pada 2019, kami mula menghantar daging korban kepada mereka. Bagaimanapun, tahun ini kami kumpulkan mereka di sini bukan sahaja untuk pengagihan daging tetapi juga untuk makan tengah hari nasi beriani bersama-sama, yang disediakan oleh Ajmir Briyani and Spice Kitchen menggunakan daging korban,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Chef Aizat Haikal daripada MasterChef Singapore musim keempat turut menyediakan video masakan eksklusif untuk membimbing penerima cara memasak beriani. Bahan-bahan yang digunakan dalam video itu turut disediakan kepada penerima.

Muhammad Imran berkata acara hari ini membolehkan ahli-ahli persatuan, bersama-sama penaja, sukarelawan dan penerima untuk berinteraksi dengan lebih baik, serta sebagai satu isyarat ikhlas untuk menyambut mualaf baharu ke dalam keluarga MCAS.

Beliau berkata pada majlis ini, MCAS turut meraikan rakyat Malaysia yang telah banyak menyokong aktiviti persatuan termasuk pengagihan daging korban sepanjang tahun-tahun sebelum ini.

Pesara Fatimah Jensen, 77, dari Ang Mo Kio berkata dia gembira menjadi sebahagian daripada majlis ini kerana penerima dapat bertemu saudara baharu dan dapat mengelakkan sebarang pembaziran.

“Tahun lepas apabila mereka mengagihkan daging, saya sebenarnya dimasukkan ke hospital, jadi daging yang mereka tinggalkan di luar rumah saya rosak. Saya gembira tahun ini kita dapat daging secara terus,” katanya.

Penerima Bantuan Kewangan MCAS, Nordiana Abdullah, 72, berkata majlis ini membuatkannya berfikir tentang mereka yang kurang bernasib baik daripada dirinya.

“Saya bersyukur tetapi pada masa yang sama saya teringatkan mereka di Palestin. Marilah kita semua berdoa untuk mereka,” katanya.

MCAS, juga dikenali sebagai Darul Arqam Singapura, memainkan peranan aktif untuk menjadi penghubung kepada  pemahaman yang lebih baik mengenai Islam.

Organisasi bukan untung itu telah dilantik sebagai pusat sehenti untuk memberi perkhidmatan kepada mualaf oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak 2005.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan