SUKAN

Mad Terima Rm50,000 Menerusi Peruntukan Menteri- Hannah

07/07/2024 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) menerima RM50,000 menerusi peruntukan menteri bagi terus memupuk minat dan penglibatan sukan berkenaan di peringkat akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pelapis negara, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. 

Hannah mengakui dana diberikan itu pasti mampu menyemarakkan sukan berkenaan namun menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai bajet tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk melabur dalam sektor sukan. 

“Penyertaan sukan berpasukan memang sangat mahal kerana ia melibatkan ramai peserta. Itu sebab mereka perlukan sokongan daripada semua pihak dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru semua GLC mempunyai bajet CSR untuk melaburkan dalam sukan. 

“KBS boleh membantu GLC mengenal pasti persatuan sukan yang memerlukan sokongan korporat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad negara yang bakal menyertai Kejohanan Dodgeball Dunia 2024 di Austria, Ogos ini. 

Hannah berkata agak sukar bagi sukan seperti Dodgeball mencari tajaan berbanding sukan popular seperti badminton atau bola sepak yang mempunyai pengikut tersendiri.

Sementara itu, Presiden MAD Datuk V. Radhakrishnan berkata sebahagian daripada sumbangan KBS itu akan digunakan untuk perbelanjaan skuad negara ke Austria untuk mempertahankan gelaran juara lelaki buat kali keempat berturut-turut dari 11 hingga 17 Ogos ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan