SUKAN

Paris 2024: Ariana Nur Dania ‘bidik’ Pengalaman Atau Podium?

08/07/2024 09:27 AM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Susuk badannya mungkin kecil dan usianya baru mencecah 19 tahun, namun itu semua tidak menghalang pemanah recurve negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi untuk bersinar dengan menempah dua kategori di Sukan Olimpik Paris 2024.

Lebih menakjubkan beliau yang akan membuat penampilan sulung dalam temasya berprestij itu, berjaya memperoleh tiket kategori individu wanita hanya pada penampilan antarabangsa kedua di Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand 2023 pada November.

Malah beliau mengepalai pasukan recurve wanita yang turut dibarisi Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh untuk mencipta sejarah buat julung kalinya Malaysia mempunyai wakil dalam kategori berkenaan selepas mereka mara separuh akhir kejohanan kejohanan ArcheryInParis Final Olympic Qualifier di Antalya, Turkiye, awal bulan lepas. 

Bagaimanapun timbul persoalan berhubung matlamat yang akan 'dibidik’ Ariana Nur Dania dalam temasya yang dijadual berlangsung bulan hadapan itu, sama ada beliau sekadar mengambil pengalaman atau menyasarkan podium? 

Jika difikirkan, juara bertahan An San dari Korea Selatan boleh dijadikan sumber inspirasi apabila beliau yang membuat penampilan pertama di Olimpik Tokyo 2022 ketika berusia 20 tahun, mencipta sejarah dengan menjadi pemanah pertama menuai tiga pingat emas menerusi kategori individu, berpasukan wanita dan campuran dalam satu edisi sama. 

San juga memecahkan rekod 25 tahun Olimpik apabila mengumpul 680 daripada 720 mata semasa kelayakan individu wanita di Tokyo 2020 sekali gus memperbaharui rekod atlet Ukraine, Lina Herasimenko yang dibuat pada 1996 di Atlanta, iaitu sebanyak 673 mata.

Meskipun begitu langit tidak selalunya cerah apabila jaguh Olimpik itu terlepas peluang mempertahankan gelarannya di Olimpik Paris selepas tersingkir pada peringkat ketiga ujian pasukan kebangsaan Korea Selatan yang diadakan di kampung halamannya, Gwangju pada 11 Mac lepas. 

Pencapaian San membuktikan faktor debut bukanlah alasan untuk tidak mendambakan podium bahkan emas, kerana hal itu bukanlah mustahil cuma memerlukan semangat luar biasa untuk menukar impian menjadi realiti. 

"Kalau ada rezeki, ada medal tapi saya tak letak jangkaan tinggi sangat sebab saya tahu berada di mana dalam peringkat dunia ini, harapan saya untuk buat yang terbaik. Pencabar terbesar dari Korea Selatan, USA, India, China dan Great Britain. 

"Bagi saya mereka ini sangat tenang ketika memanah (shoot) dan saya kagum. Jadi mungkin itu faktor mereka berada dalam kalangan terbaik," kata atlet dari Kuala Lumpur itu kepada Bernama baru-baru ini. 

Menurut laman sesawang masarchery.org, Ariana Nur Dania akan menjalani latihan pecutan akhir di Korea Selatan ditemani dua rakan lain, Nurul Azreena dan Syaqiera, untuk memperkemas teknik selain menyerap sebanyak ilmu untuk dijadikan bekalan di Paris. 

Langkah diambil Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dilihat tepat apabila negara yang sinonim dengan 'K-pop' itu paling berjaya pada acara memanah Sukan Olimpik dengan memenangi 27 pingat emas, sembilan perak dan tujuh gangsa dengan keseluruhan 43 pingat.

Memanah pertama kali dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 1900 dan dipertandingkan sekali lagi pada edisi St. Louis (1904), London (1908) dan Antwerp (1920) sebelum ‘direhatkan’ selama 52 tahun daripada program Olimpik.

Sukan itu bagaimanapun diperkenalkan semula pada Sukan Olimpik Munich 1972 dan kekal dalam program Olimpik sehingga kini.

Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. 

 

Profil: 

 

Ariana Nur Dania Mohamad Zairi 

-------------------------------------------

 

Umur: 19 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Adik-beradik: Anak kedua daripada empat 

Tinggi: 154 cm 

Mula memanah: 10 tahun 

Ranking: ke-43 dunia (individu) 

 

Pencapaian: 

Emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok 2023

Perak acara berpasukan wanita di kejohanan ArcheryInParis Final Olympic Qualifier di Antalya, Turkiye 2024 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan