DUNIA

12 Cedera Dalam Gempa Bumi Di Jawa Tengah

08/07/2024 05:31 PM

JAKARTA, 8 Julai (Bernama) -- Gempa bumi berukuran 4.4 magnitud yang melanda daerah Batang, Pekalongan dan Kendal di Jawa Tengah pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya 12 penduduk cedera dan 49 rumah serta 11 kemudahan awam rosak.

Gempa bumi pada 2.35 petang waktu tempatan dengan pusat gempa kira-kira 5 km timur laut Batang pada kedalaman 6 km, mendorong penduduk mengosongkan kediaman mereka dalam keadaan panik.

Menurut jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhairi, 11 penduduk memerlukan rawatan rapi dan telah pulang ke rumah manakala seorang penduduk masih dalam pemerhatian kesihatan.

Gempa bumi itu turut merosakkan lima rumah dengan teruk, 12 lagi mengalami kerosakan sederhana dan 32 rumah mengalami kerosakan kecil manakala sebuah rumah ibadat, tiga sekolah, sebuah pasar dan sebuah lagi bangunan turut rosak.

“Pihak berkuasa, termasuk tentera dan polis sedang membantu penduduk membersihkan serpihan daripada bangunan runtuh dan telah mengeluarkan amaran untuk kemungkinan gegaran susulan", menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jabatan Perkhidmatan Sosial Batang telah menubuhkan dapur umum untuk penduduk manakala Pejabat Kesihatan Jawa Tengah telah menghantar pasukan, termasuk sukarelawan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan