EKONOMI

Bahagian Kejuruteraan Dan Fabrikasi Wasco Sasar 15 Peratus Nilai Perolehan Tender

08/07/2024 08:44 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

BATAM (INDONESIA), 8 Julai (Bernama) -- Bahagian kejuruteraan dan fabrikasi penyedia penyelesaian tenaga Wasco Bhd menjangkakan untuk menukar sekurang-kurangnya 15 peratus daripada nilai perolehan tender melebihi US$1 bilion (US$1=RM4.71) kepada nilai perolehan kontrak.

Sebelum ini, Wasco dikenali sebagai Wah Seong Corporation Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Kejuruteraan dan Fabrikasi Wasco, Shan Karupiah berkata ia akan menambah kepada nilai perolehan kontrak sedia ada syarikat itu yang berjumlah lebih US$180 juta.

“Kadar penukaran (dari nilai perolehan tender kepada nilai perolehan kontrak), apa yang kita lihat adalah sekurang-kurangnya 15 peratus. Ini bermakna satu dalam setiap lima atau enam pekerjaan yang kita bida, kita akan peroleh,” katanya kepada Bernama pada majlis sambutan kejayaan menyiapkan modul ke-300 syarikat itu di sini hari ini.

Shan berkata usaha Wasco dalam bidang kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) untuk sektor minyak dan gas bermula pada 2006 apabila syarikat itu membeli Gas Services International Pte Ltd di Singapura daripada Weatherford International Inc, meletakkan asas kepada kedudukan Wasco ketika ini.

Beliau berkata menyedari potensi besar industri tenaga dan kekangan dihadapi di Singapura, terutamanya kekurangan ruang di kawasan dermaga dan sekatan melibatkan tenaga kerja, Wasco membuat keputusan strategik untuk menubuhkan operasi di Batam, Indonesia dengan membeli PT Megaron pada 2009, sebuah syarikat kecil berasaskan perniagaan fabrikasi di Batam.

“Selepas mengambil alih PT Megaron dan menjenamakan semula menjadi Wasco, kami telah berkembang pesat daripada ruang sewa sederhana seluas 400 meter persegi (m²) di Batu Ampar kepada empat hektar seterusnya berkembang kepada 12 hektar dan kini berkeluasan 33 hektar menyediakan kemudahan fabrikasi termaju, ia adalah bukti pertumbuhan dan komitmen kami.

"Pertumbuhan menakjubkan ini menekankan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan inovasi," katanya.

Shan berkata perjalanan syarikat di Batam telah dibentuk oleh pertumbuhan luar biasa dan impak komuniti, berkembang daripada 15 pekerja pada 2009 kepada tenaga kerja ketika ini kira-kira 4,500 orang termasuk lebih 350 jurutera dan ia disenaraikan dalam kalangan 10 majikan terbaik di Batam.

Beliau berkata limbungan Wasco di Batam ialah limbungan fabrikasi terbesar syarikat dan juga mempunyai Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan utama Wasco berperanan sebagai hab syarikat untuk kejuruteraan, membolehkan kami menghadapi pelbagai cabaran dan menyiapkan projek di seluruh dunia.

“Dari lokasi strategik ini, kami bukan sahaja memenuhi permintaan serantau tetapi juga menyokong operasi global kami.

“Daripada permulaannya yang sederhana sebagai fabrikasi EPC pemampat gas, hari ini Wasco telah berubah menjadi peneraju dalam EPC yang mampu mereka bentuk dan menyiapkan projek untuk loji pemprosesan di darat dan luar pesisir, bangunan elektrik dan pasang siap untuk kedua-dua industri tenaga dan bukan tenaga, unit prapasang dan modul rak prapasang dan untuk sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan