EKONOMI

TEX CYCLE, ER2E GABUNG KEPAKARAN DALAM PENGURUSAN SISA

09/07/2024 05:01 PM

KLANG, 9 Julai (Bernama) -- Tex Cycle Technology (M) Bhd (Tex Cycle), melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Tex Cycle (P2) Sdn Bhd, telah bekerjasama dengan Econas Resource to Energy Sdn Bhd (ER2E) untuk memaksimumkan peluang dalam pengurusan sisa terjadual. 

Ketua Pegawai Eksekutif Tex Cycle, Gary Dass Anthony Francis berkata kerjasama itu melibatkan penggunaan kemantapan kehadiran pasaran syarikat pengurusan sisa itu bagi menyokong ER2E dalam mempromosi dan mengembangkan operasi pengurusan sisanya.

“Secara khusus, Tex Cycle akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan sehingga 5,000 tan sebulan dalam kerja-kerja pengurusan sisa terjadual bagi ER2E, memastikan keutamaan dalam pelupusan serta pemprosesan di fasiliti ER2E.

“Selain itu, Tex Cycle akan menyediakan sokongan teknikal dan bertindak sebagai pengangkut pihak ketiga, meningkatkan kecekapan operasi ER2E, yang mana terpakai,” kata Dass pada majlis pemeteraian perjanjian antara kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.

ER2E, sebaliknya, akan melibatkan Tex Cycle untuk volum yang setimpal dalam projek kitar semula dan pemulihan, memberi keutamaan bagi menjalankan termasuk mengurus projek-projek ini dan melanjutkan sokongan operasi, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ER2E Datuk Mohd Shafiee Mohd Sanip berkata perkongsian itu disasarkan untuk mempercepatkan pelaksanaan teknologi, kecekapan dan penyelesaian rawatan sisa termaju. 

“Kerjasama kami dengan Tex Cycle adalah satu kejayaan yang luar biasa yang memanfaatkan gabungan kekuatan kami dalam pengurusan sisa untuk berinovasi dan mempertingkatkan amalan alam sekitar di seluruh Malaysia.

“Kami yakin perkongsian ini akan menghasilkan manfaat yang besar untuk operasi dan komuniti yang kami. berkhidmat,” katanya. 

Pada 20 Jun, AmBank Islamic Bhd mengumumkan pembiayaan hijau sebanyak RM285 juta kepada ER2E bagi membangunkan kompleks pemulihan dan pelupusan sumber termasuk sumber kepada sisa terjadual tenaga (R2E-SW) di Pengerang, Johor.

Fasiliti fasa pertama ER2E telah 99 peratus siap dengan operasi dijangka menjelang suku ketiga tahun ini.

Fasa dua akan menyaksikan pembinaan loji insinerator R2E-SW, bertujuan untuk menjana elektrik daripada pembakaran sisa terjadual. Ia dijangka bermula pada suku keempat 2024, dengan integrasi operasi penuh disasarkan menjelang suku ketiga 2026.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan