KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap 3,077 kes, dengan 151 kes daripadanya telah didakwa di mahkamah melibatkan kesalahan berkait elemen lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik dari 2009 sehingga 15 Jun lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588.
Beliau berkata bagi kesalahan melibatkan elemen lucah, 72 kes didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM617,050, 15 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM38,000, manakala 18 kes lagi dikeluarkan notis amaran.
“Bagi kesalahan melibatkan elemen sumbang, tiga kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM55,000, tiga kes lagi dikeluarkan notis amaran.
“Bagi kesalahan melibatkan elemen palsu, 25 kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan RM162,300, empat kes ditawarkan kompaun dengan nilai RM11,000, 51 kes dikeluarkan notis amaran,” katanya pada sesi kamar khas sidang Parlimen, hari ini, menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu statistik kes yang didakwa serta disabitkan di bawah Akta 588.
Mengulas lanjut, Teo berkata bagi kesalahan melibatkan elemen mengancam, tiga kes didakwa di mahkamah dengan denda keseluruhan RM3,000, manakala lima kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM21,000, dan lima kes dikeluarkan notis amaran.
“Bagi kesalahan melibatkan elemen jelik, sebanyak 48 kes didakwa di mahkamah dengan hukuman denda keseluruhan RM430,000, 22 kes ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM126,000, manakala 25 kes dikeluarkan notis amaran,” katanya.
Beliau berkata siasatan kes dijalankan MCMC adalah berdasarkan aduan orang awam, permohonan daripada agensi penguatkuasaan lain, serta pemantauan proaktif oleh MCMC khususnya terhadap aktiviti dalam talian yang melanggar Akta 588.
Sementara itu, beliau berkata Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan berperanan menyekat kebebasan bersuara rakyat seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya, ia dilihat perlu dalam memastikan hak kebebasan bersuara dimiliki, digunakan secara berhemah.
Berhubung status pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Teo berkata ia telah dimuktamadkan dari segi polisi dan akan dibentangkan di persidangan Parlimen setelah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan Kabinet.
Katanya, syor pindaan akta itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dari kalangan pemain industri, kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, agensi penguatkuasaan keselamatan dan pertahanan, serta badan bukan kerajaan termasuk Majlis Peguam Malaysia.
“Berdasarkan sesi libat urus yang diadakan, cadangan pindaan ke atas Akta 588 secara umumnya diterima baik pihak berkepentingan dan pemegang taruh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial