AM

Studio Gamelan Gangsapura Komited Gilap Pewaris Seni Warisan

10/07/2024 12:14 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Sejurus daun pintu studio dibuka, sudah kedengaran alunan muzik gamelan, membangkitkan pelbagai nostalgia tersendiri. 

Studio Gamelan Gangsapura yang terletak di tingkat lapan sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang itu dipenuhi susunan alatan muzik gamelan seperti keromong, gambang, saron, gong, gendang dan dan kenong di ruang tengah.

Penebat bunyi bercorak songket merah yang menata dinding putih pula menyerlahkan lagi aura tradisional. 

Studio itu bukan hanya sebagai pusat mempelajari gamelan, namun pengasasnya Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar, 35, juga berhasrat memperkenalkan seni yang dikatakan mula dipersembahkan di Tanah Melayu pada tahun 1811, kepada pelancong, mengambil kira populariti Bukit Bintang sebagai destinasi tumpuan mereka.

"Mungkin ada yang berpandangan gamelan tidak diminati golongan muda atau sukar dipelajari sedangkan ia sebenarnya tidak benar sama sekali. Gamelan sesuai untuk semua peringkat usia dan baru-baru ini, kami juga menerima tiga pelajar warga emas University of the Third Age (U3A) di bawah program Universiti Putra Malaysia (UPM). 

"Sambutan kumpulan belia juga amat baik sehingga kami perlu mengadakan lima slot kelas seminggu bagi memenuhi permintaan, selain membolehkan mereka yang berminat menyusun masa mengikut kesesuaian," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Gamelan dikatakan berasal dari Istana Kerajaan Riau-Lingga sejak sekitar kurun ke-17 sebelum dibawa ke Tanah Melayu iaitu ke Pekan, Pahang, sempena perkahwinan diraja antara kedua-dua kerajaan.

Bagaimanapun, alunan muzik gamelan kini sudah tidak lagi asing dalam kalangan masyarakat tempatan, malah sering juga menjadi 'halwa telinga' untuk acara rasmi termasuk istiadat konvokesyen selain sudah boleh dipelajari oleh semua peringkat masyarakat.

Teuku Umar Ilany yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) mengusahakan studio itu bersama isterinya, Nur Diyana Nadirah Shaharuddin, 31.

Pasangan ini dibantu Ahmad Syamiem Mohd Sukarno, 28, yang berpengalaman 16 tahun dalam muzik gamelan sebagai tenaga pengajar. 

Kelas itu dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pemula, pertengahan serta lanjutan selain terdapat kelas percubaan untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun iaitu 'Cilik Gangsa',

Apabila ditanya berapa lama tempoh diperlukan untuk mahir, beliau dengan pantas menjawab, “Ia bergantung kepada individu. 

"Sama seperti seni muzik lain, ia memerlukan latihan berterusan untuk mahir. Namun, perbezaannya ialah gamelan tidak mempunyai buku teori yang sering digunakan semasa mempelajari alatan muzik lain, contohnya piano. 

"Sebaliknya, gamelan melibatkan kaedah pengajaran secara tradisi lisan, melalui cara mendengar, melihat, meniru dan mengulang, dengan teknik-teknik permainan yang berbeza mengikut alat," katanya yang menambah, setiap pelajar juga berpeluang mempelajari alatan berlainan pada kelas yang diikuti. 

Menurut Teuku Umar Ilany, minat dalam muzik baginya bermula seawal usia 12 tahun selepas ibu bapanya menghantarnya ke Program Tunas Budaya di Istana Budaya, sebelum mempelajari gamelan secara rasmi di sekolah menengah yang mempunyai aliran muzik.

Melihat kepada Studio Gamelan Gangsapura, ramai tidak mengetahui bahawa Teuku Umar Ilany dan isteri pernah berdepan saat getir sebelum hasrat membuka studio untuk 'berkongsi minat dan ilmu' dalam seni warisan tersebut berjaya direalisasikan pada bulan Mei lepas.  

"Sebelum adanya studio, kami terpaksa menyewa ruang untuk mengadakan kelas bermula pada tahun 2016. Bukan itu sahaja, alatan muzik yang digunakan juga perlu disewa sehingga ada masanya kos yang terlibat mencecah ribuan ringgit," katanya. 

Gangsapura, menurut Teuku Umar Ilany, lazimnya membuat persembahan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), dan daripada situ mereka semakin dikenali sebelum berjaya memperoleh Geran Kreatif Kuala Lumpur (KL) pada tahun lepas (2023). 

Beliau menambah, geran itu digunakan sebaiknya untuk melengkapkan dan memperindahkan studio, selain mereka turut menerima sumbangan peribadi pihak yang turut sama berhasrat membantu memelihara kesinambungan seni warisan muzik tradisional berkenaan. 

"Saya berharap Studio Gamelan Gangsapura boleh menjadi pusat seni tradisional yang memenuhi kehendak pencinta warisan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Besar hasrat kami agar seni gamelan diangkat ke peringkat lebih tinggi dan terus dimainkan oleh pewarisnya supaya tidak tenggelam pada masa hadapan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan