AM

JABATAN PERUMAHAN NEGARA, LPHP METERAI MOU SELAMATKAN PROJEK PERUMAHAN SAKIT DI PERAK

10/07/2024 02:12 PM

IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah penting dalam menyelamat dan memulih projek perumahan sakit dan terbengkalai di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerjasama pertama seumpamanya di negara ini itu menandakan satu titik perubahan dalam menyelesaikan masalah perumahan yang sekian lama membelenggu rakyat.

“Kerjasama strategik ini akan memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif dan pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik dan efisien,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen MoU berkenaan di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk K.N Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Akmal Dahalan disaksikan Saarani dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Sementara itu Saarani berkata setakat ini, lima projek dikenal pasti sebagai terbengkalai di Perak melibatkan D'Aman Residensi Meru Raya di Ipoh, Taman Tapah Permai di Tapah, Taman Cempaka II di Manjung, Taman Seri Emas di Kampar, dan Taman Limau Mas di Beruas.

Katanya semua projek tersebut kini di bawah pemantauan aktif LPHP dan bagi projek D'Aman Residensi Meru Raya, ia dijangka disambung semula akhir Julai ini dan seterusnya mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) Disember tahun ini.

Saarani turut memaklumkan berdasarkan data terkini Jabatan Perumahan Negara, terdapat 58 projek perumahan melibatkan pemaju swasta dengan 4,007 unit rumah dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 31 Mei tahun ini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan